Powered by Blogger.

Wednesday, March 21, 2012

Kolej Teknologi dan Inovasi KRIM Rintis Program Pengajian Solar

  NR       Wednesday, March 21, 2012

Seorang pensyarah Kolej Teknologi dan Inovasi KRIM, Azrul Nazli Muhammad Said (kanan) memberi penerangan berkaitan teknologi hijau terutama tenaga solar kepada pelajarnya di Kuala Terengganu, baru-baru ini.

KUALA TERENGGANU 20 Mac - Sebuah institusi pengajian tinggi swasta di sini mengukir sejarah tersendiri apabila merintis program bagi melahirkan modal insan berkemahiran tinggi terutama dalam industri teknologi suria (solar).

Kolej Teknologi dan Inovasi KRIM (KCTI) ditubuhkan seiring dengan perkembangan pesat bidang itu yang sedang dipacu negara sebagai sumber tenaga alternatif yang semakin dirasakan keperluannya.

KCTI merupakan sebuah anak syarikat bumiputera, SolarTIF yang terlibat dalam pengilangan panel suria dan pembekalan bahan berkaitan teknologi hijau terutama tenaga solar di kawasan perusahaan Cendering di sini.

Ketua Eksekutif KCTI, Zulkepli Jusoh berkata, penumpuan dalam bidang itu penting memandangkan industri akan menghadapi kesukaran mendapatkan tenaga mahir yang berkelayakan dalam bidang tersebut.

Keadaan itu, katanya, bidang tersebut mula dirasai syarikat terbabit sejak kebelakangan ini.

Katanya, Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Bidang Utama Ekonomi Negara (NKEA) yang memberi tumpuan dalam sektor teknologi solar atau photovoltaic pula dijangka menyumbang lebih RM90.1 bilion kepada pendapatan kasar negara dan menyediakan sekitar 157,000 pekerjaan menjelang 2020.

''Perkembangan ini telah mendorong SolarTIF dan KCTI untuk turut sama terlibat dan menyumbang ke arah pembangunan modal insan dalam memenuhi kehendak dan perancangan tersebut.

''Untuk tujuan tersebut, SolarTIF melangkah setapak lagi dengan menubuhkan KCTI dengan kampusnya di Jalan Pasir Panjang di sini dan pengambilan pertama pelajar telah dibuat pada Januari lalu," katanya di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, KCTI memberi fokus kepada bidang teknologi hijau terutamanya tenaga boleh diperbaharui dan untuk semester ini, menawarkan Diploma Teknologi Tenaga Suria dengan bimbingan para pensyarah berpengalaman dalam industri.

Katanya, kolej berkenaan juga menawarkan program pengajian dalam bidang teknologi komputer seperti Diploma Pembangunan Prisian dan bidang teknologi kreatif seperti Diploma Animasi Digital dan Diploma Teknologi dan Pembangunan Permainan Komputer yang memenuhi piawaian Akreditasi Provisional Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

''Kita membawa konsep industri ke dalam kelas kuliah. Program pengajian yang ditawarkan di KCTI mendapat sokongan industri terbabit. Dengan ini, pelaksanaan kurikulum pengajian lebih menjurus kepada kehendak industri dan pasaran pekerjaan.

''Sebagai contoh, program teknologi solar disokong SolarTIF sendiri di mana kerja-kerja amali akan dilaksanakan di kilang pengeluaran panel solar SolarTIF," katanya.

Di samping itu, kataZulkepli, bagi teknologi kreatif, program pengajian disokong oleh Redang Digital Sdn. Bhd. iaitu sebuah Animation Productin House yang mengeluarkan produk dan siri animasi untuk RTM yang juga rakan kongsi kepada syarikat.

"Manakala KRIM Network Sdn. Bhd. sebuah syarikat pembangunan perisian dan siatem komputer pula akan menyokong program dalam bidang teknologi komputer," katanya.

Pengambilan bagi kemasukan semester Jun 2012 sedang dibuka sekarang bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia, Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 3, Sijil Kolej Komuniti dan Institut Latihan Perindustrian.

Bagi mendapatkan maklumat dan keterangan lanjut, kolej itu boleh dihubungi melalui talian 09-6226311 atau e-mel: info@kolejkrim.edu.my atau www.kolejkrim.edu.my.

- Utusan
logoblog

Thanks for reading Kolej Teknologi dan Inovasi KRIM Rintis Program Pengajian Solar

Previous
« Prev Post

No comments: