KUALA LIPIS 20 Mac - Seramai 20 mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di bawah Program Motivasi Sinar Permata menganjurkan program amal untuk anak-anak yatim daerah Lipis di sini baru-baru ini.
Menerusi program tersebut, mahasiswa berkenaan memberi kesedaran kepada anak-anak yatim mengenai kepentingan pelajaran dan cabaran menghadapi alam kerjaya pada era global.
Selain suntikan motivasi menerusi ceramah, bimbingan agama dan permainan, mahasiswa berkenaan turut menyelami denyut nadi dan kesedihan anak-anak di bawah Persatuan Pendidikan Anak-Anak Yatim Lipis (PPAYL) itu menerusi sesi sentuhan kasih sayang.
Dalam program itu, mahasiswa berkenaan turut dibawa melawat ke tempat bersejarah iaitu bangunan Pentadbiran Daerah Lipis, Bukit Residen, kediaman Tun Abdul Razak dan tempat kelahiran Perdana Menteri di Bukit Bius serta beberapa monumen sejarah lain.
Majlis penutup program disempurnakan oleh Ketua Penolong Pegawai Daerah Lipis, Mohd. Rushdi Abdul Ghani. Hadir sama, Pengerusi PPAYL, Nata Yusuff.
Menurut Mohd. Rushdi, mahasiswa perlu berperanan proaktif dalam menggerakkan kegiatan kebajikan selari dengan tuntutan agama Islam dan kemanusiaan.
Sehubungan itu, katanya, mahasiswa wajar mendekatkan diri dengan anak yatim dan penduduk miskin lain sebagai salah satu cara untuk mereka menabur bakti kepada masyarakat.
Katanya, pengisian kegiatan itu mampu menjalin dan mendekatkan hubungan antara mahasiswa dengan golongan berkenaan malah segala dasar kerajaan juga dapat diketengahkan kepada pengetahuan mereka.
Sementara itu, Nata berkata, penganjuran kegiatan bersama mahasiswa UIA dan anak yatim berkenaan juga secara tidak langsung dapat menerapkan nilai murni dan memacu kehidupan berdikari dalam kalangan anak yatim berkenaan.
"Kegiatan ini merupakan platform kepada penuntut agar dapat sama menyumbang idea, tenaga, pemikiran dan pengetahuan serta kemahiran sepanjang program itu berlangsung," ujarnya.
- Utusan
No comments:
Post a Comment