Powered by Blogger.

Wednesday, March 07, 2012

PABM 2012: 25 Pelajar Asing Mara Ke Suku Akhir

  NR       Wednesday, March 07, 2012
PUTRAJAYA – Seramai 25 orang dari 59 orang peserta pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu 2012 (PABM 2012) kategori antarabangsa berjaya melayakkan diri melangkah ke peringkat suku akhir bagi merebut Piala Perdana Menteri pada 8 Mac ini.
Berentap di hadapan para juri pertandingan dari Majlis Debat Universiti-Universiti Malaysia (MADUM) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrayjaya di sini hari ini, para peserta berhempas pulas mempamerkan kepetahan masing-masing berpidato di dalam bahasa rasmi kebangsaan.
Antara yang berjaya melayakkan diri ke peringkat suku akhir PABM 2012 ialah Sara White (Amerika Syarikat), Yota Tamura (Jepun), Sebghatul Qazizada (Afghanistan), Elena Vorobyeva (Latvia), Amirah El-Mesawi (Tunisia), Jan Niklas Palluch (Jerman) dan Yasmin Vashti Winnett (United Kingdom).
Sementara itu Polina Matbeycheva (Rusia), Chen Yang (Republik China), Gaelle Joubert (Perancis), Dora Zsofia Nemeth (Hungary), Rasheida Ibrahim (Sudan), Marina Makarova (Moldova), Sardor Rafikov (Uzbekistan) dan Daniel Alexander Van Tuill (Belanda) turut meneruskan cabaran ke peringkat seterusnya.
Menurut para juri pertandingan kali ini, tahap peserta-peserta kategori antarabangsa pada PABM 2012 edisi ke-6 ini meningkat dengan baik serta sangat memuaskan di mana kebanyakkan dari peserta pidato begitu petah dan lancar mempertuturkan Bahasa Melayu.
“Prestasi para peserta kali ini sangat memuaskan hati juri. Para peserta memperlihatkan kelancaran mereka berpidato dengan baik sekali berbanding para peserta pada pertandingan-pertandingan sebelum ini,” kata Pengerusi Jawatankuasa Teknikal dan Penghakiman, Mazlena Mohd Hussain di sini hari ini.
Selain itu, beliau turut memuji para peserta berhubung penggunaan terma-terma yang tepat ketika berpidato dan tidak ramai yang membawa kertas rujukan ke pentas untuk membantu persembahan mereka.
“Kali ini terma-terma (yang digunakan peserta) agak tepat dan tidak ramai yang membawa kertas untuk dibaca di atas pentas (berbanding dahulu), ini pertandingan pidato dan bukannya pertandingan membaca,” katanya lagi.
Seramai 25 peserta PABM 2012 tersebut akan kembali ke pentas pada jam 9 pagi esok bagi merebut 12 tempat di peringkat separuh akhir pertandingan yang akan berlangsung sehari kemudiannya.
Sementara di dalam perkembangan berkaitan, seramai 10 orang peserta kategori nusantara dari enam negara Asia Tenggara bakal memanaskan lagi pentas pertandingan, sekaligus memulakan cabaran masing-masing esok.
Seramai lima orang peserta terpilih dari kategori tersebut akan melangkah ke peringkat separuh akhir pada hari berikutnya.
Malam kemuncak PABM 2012 bakal berlangsung di Dewan Plenary, PICC, pada 8 Mac ini dan bakal dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga merupakan penaung kepada pertandingan yang mengangkat martabat bahasa kebangsaan di mata dunia itu.
Sumber: Mynewshub

logoblog

Thanks for reading PABM 2012: 25 Pelajar Asing Mara Ke Suku Akhir

Previous
« Prev Post

No comments: