MELAKA 13 Mac - Kira-kira 400 pelajar baharu Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Bandaraya menerusi program Penerapan Ijazah Sarjana Muda kemasukan Mac-Julai 2012 diingatkan agar menjaga kualiti pencapaian akademik, akhlak, peradaban dan imej diri.
Rektornya, Profesor Madya Datuk Dr. Mizan Hitam berkata, etika itu perlu dipatuhi pelajar bagi memastikan imej UiTM sebagai sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) terus disegani dalam kalangan rakyat di negara ini.
Menurutnya, reputasi buruk yang dibawa pelajar bukan sahaja boleh mencalarkan imej UiTM tetapi juga kerajaan negeri yang dipimpin oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.
"Saya percaya pelajar diterima masuk ke kampus ini memiliki norma dan budaya serta pengalaman berbeza di kampus masing-masing kerana mereka adalah pelajar bijak dan memiliki Himpunan Purata Mata Kredit (CGPA) 3.00 ke atas.
''Kampus ini adalah yang terbaik berdasarkan peningkatan CGPA 3.5 ke atas dan terbaik di antara kampus cawangan di seluruh sistem yang ada, selain pencapaian 35 pelajar menerima Anugerah Naib Canselor dan Dekan," katanya di sini baru-baru ini.
- Utusan
No comments:
Post a Comment