SUNGAI PETANI – Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) kini dibuka kepada pelajar yang menunggu keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atas dasar penyertaan secara sukarela.
Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata keputusan itu bagi memberi peluang kepada mereka yang berminat untuk menyertai PLKN namun tidak terpilih atau berkesempatan berbuat demikian.
“Masa yang agak panjang selepas tamat peperiksaan STPM sehingga mendapat tawaran melanjutkan pengajian ke universiti sebaiknya diisi dengan memberi latihan berguna kepada mereka,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Abdul Hadi berkata mereka yang berminat, termasuk yang baharu sahaja menerima keputusan STPM baru-baru ini boleh mendapatkan borang di sekolah masing-masing dan tarikh tutup permohonan adalah hujung bulan ini.
Sementara itu, mengulas mengenai kematian seorang pelatih PLKN Kem Terkok, Sungai Siput, Perak yang dipercayai akibat Leptospirosis (jangkitan bakteria kencing tikus) pada 12 Mac lepas, beliau berkata setiap kem dipantau tahap kebersihannya. – BERNAMA
No comments:
Post a Comment