Powered by Blogger.

Thursday, March 22, 2012

SPM 2011 Sabah: 30,827 (94.05%) LMS, 187 Calon Semua A, GPN 5.51

  NR       Thursday, March 22, 2012

PAPAR 21 Mac - Sabah mencatat gred purata negeri lebih baik bagi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 iaitu 5.51 peratus berbanding 5.67 peratus pada 2010.

Malah, jumlah pelajar mendapat A dalam semua mata pelajaran turut meningkat.

Pengarah Pelajaran negeri, Datuk Dr. Muhiddin Yusin berkata, jumlah pelajar mendapat keputusan A dalam semua mata pelajaran pada tahun lalu ialah seramai 187 orang berbanding 152 orang pada 2010.

"Pencapaian tahun 2011 menjadi lebih manis apabila sebuah sekolah di pedalaman, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ulu Sapi di Telupid dekat sini mencatat keputusan 100 peratus, sekali gus menjadi sekolah pedalaman kedua mencatat keputusan tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pengumuman SPM di Dewan Jubli Perak SMK Majakir di sini hari ini. Hadir sama timbalannya, Maimunah Suhaibul.

Tambah Muhiddin, pencapaian lebih baik keputusan SPM itu adalah berkat usaha keras semua pihak untuk menyaksikan tahap pendidikan di Sabah terus meningkat dari semasa ke semasa.

"Pelbagai program yang dilakukan oleh jabatan dan Kementerian Pelajaran telah membuahkan hasil, sekali gus menyaksikan SPM kali ini merekodkan 11 pelajar memperoleh A+, 40 orang lagi mendapat A+ dan A bagi semua mata pelajaran," katanya.

Pada majlis tersebut, Nur Khaleeda Abidin daripada SMK Majakir dipilih sebagai pelajar cemerlang daerah Papar apabila memperoleh 10A.

Bagi peringkat negeri Sabah, Akmal Anuar Batcha dari Sekolah Menengah (SM) Lok Yuk, Likas dekat sini muncul pelajar cemerlang dengan memperoleh 12A+.

Sementara itu, SM Sains Lahad Datu menjadi sekolah paling cemerlang diikuti SM Sains Kota Kinabalu dan SM St. Micheal Penampang.

Mengulas lanjut, Muhiddin berkata, daripada 39,765 calon SPM di Sabah, bilangan pelajar yang lulus semua mata pelajaran juga bertambah iaitu seramai 16,848 (51.4 peratus), berbanding 16,368 (49.88 peratus) pada 2010.

Bagaimanapun katanya, peratusan lulus mencatat sedikit penurunan apabila calon SMK yang menduduki peperiksaan seramai 30,827 (94.05 peratus) berjaya mendapat sijil SPM iaitu memenuhi syarat sekurang-kurangnya lulus mata pelajaran Bahasa Melayu, berbanding 33,383 (94.87 peratus) pada tahun sebelumnya.

Meskipun begitu katanya, ia tidak menggambarkan kualiti sebenar pencapaian kerana apa yang penting adalah bilangan murid mencapai keputusan cemerlang iaitu mendapat A dalam semua mata pelajaran telah meningkat.

- Utusan
logoblog

Thanks for reading SPM 2011 Sabah: 30,827 (94.05%) LMS, 187 Calon Semua A, GPN 5.51

Previous
« Prev Post

No comments: