Powered by Blogger.

Thursday, March 01, 2012

USM Adakan Program Latihan Tangani Krisis Bencana Alam

  NR       Thursday, March 01, 2012

Sebahagian penuntut USM yang terlibat dalam program latihan teknik membantu mangsa bencana alam di Port Dickson, Negeri Sembilan baru-baru ini.

TELOK KEMANG 28 Feb. – Pelbagai bencana alam yang melanda Asia sejak kebelakangan ini telah memberi inspirasi kepada Universiti Sains Malaysia (USM) untuk menggerakkan latihan membantu mangsa bencana.

Program Fasa II ini melibatkan 61 penuntut dari Persatuan Pelajar Sains Perubatan dan Persatuan Sains Kesihatan universiti berkenaan yang dilangsungkan di TM Resort Port Dickson, dekat sini, baru-baru ini.

Pengarah program, Umi Nadhirah Aisyah Mohd. Rokhibi berkata, berdasarkan kajian dan pengamatan krisis bencana itu, pihaknya mendapati telah berlakunya keadaan luar kawalan, masalah kesihatan, kemusnahan harta-benda selain kewangan yang menguncup.

“Kita sedar tentang perlunya mengambil tindakan segera dan menggerakkan bantuan kecemasan kepada mangsa terbabit.

“Sebab itulah, program ini diadakan bagi memberi pendedahan kepada penuntut USM supaya bersiap sedia kemungkinan berhadapan krisis bencana alam ini,” katanya di Port Dickson, baru-baru ini.

Selain itu, katanya, faktor kesihatan juga akan diberi perhatian dalam latihan ini sesuai dengan jurusan yang diambil penuntut USM, di mana ia akan diaplikasikan ketika berlaku bencana.

“Kita mahu signifikan daripada latihan ini kelak, aspek keselamatan ketika membantu mangsa bencana diberi keutamaan, supaya ia dapat segera memberikan kesembuhan sekiranya diserang wabak tertentu,” ujarnya.

Umi Nadhirah Aisyah optimis latihan yang dijalankan di Port Dickson ini dengan bantuan tenaga profesional ia akan membuka minda penuntut untuk membantu mangsa bencana, selain diingatkan dengan faktor keselamatan diri.

Sementara itu, seorang peserta, Syafiqah Sharudin, 21, berkata, program itu telah mengajar mereka tentang erti kesukaran ketika berlaku bencana, selain detik cemas yang dihadapi mangsa.

“Kami diajar supaya tidak panik dan bertindak segera membantu sesiapa sahaja yang berhadapan kepayahan ketika bencana berlaku,” katanya.

Rakan beliau, Assilah Ghous, 22, pula menegaskan bahawa program itu telah memberi pendedahan yang sangat baik kepada para peserta sesuai dengan jurusan yang mereka ambil di universiti.

“Kami bukan sahaja belajar teori tetapi berpeluang melakukan praktikal dengan memahami krisis dan cara menanganinya,” kata Assilah.

Seorang lagi peserta, Young Carmen Winnie, 22, menegaskan, perkara yang paling menarik hatinya ialah cabaran untuk menyelamatkan mangsa.

Katanya, dia berpeluang bertukar pandangan dengan peserta lain dan yakin bidang yang diceburinya itu ini amat diperlukan oleh negara.

Bagi Nur Syazleen Mohamed Ismail, 20, berkata, para pelajar perubatan sememangnya terdedah kepada situasi kritikal dan krisis yang memerlukan mereka cepat bertindak.

“Melalui latihan sebegini, kami dapat belajar menangani krisis dengan baik dan ia satu pengalaman berguna untuk dibawa ke medan sebenar,” jelasnya.

Sementara itu, Mohamad Haidar Abdul Razak, 23, berkata, latihan yang diberikan serba sedikit dapat membantu menambah pengetahuan dan pengalaman dalam pembelajaran.

“Kami diberikan latihan praktikal dan cara membantu mangsa bencana. Saya percaya semua ini akan lebih mematangkan kami,” katanya.

- Utusan
logoblog

Thanks for reading USM Adakan Program Latihan Tangani Krisis Bencana Alam

Previous
« Prev Post

No comments: