Setelah diberi janji mulut bahawa pertukaran kami adalah di bawah program pertukaran JPN Kelantan yang membuat giliran guru di bandar dimestikan bertugas selama dua tahun di kawasan pedalaman.
Sebelum ini program tersebut berjalan baik, walaupun ramai juga guru yang tidak sanggup berkorban diri dengan membatalkan surat pertukaran atas kapasiti politik. Namun apabila tiba giliran kumpulan kami, janji tersebut bagai sengaja dimungkiri dengan alasan bilangan guru di pedalaman yang kritikal.
Kami menjadi mangsa keadaan kerana memo pertukaran dikeluarkan oleh Sektor Pendidikan Islam (SPI), sedangkan urusan pertukaran kini adalah di bawah Sektor Pengurusan Sekolah sepenuhnya. Sudah hilangkah data perkhidmatan kami untuk dilihat kembali?
Sepatutnya apabila cukup tempoh dua tahun pada akhir tahun lepas, kumpulan guru lain pula sepatutnya ditukar ke kawasan pedalaman ini bagi menggantikan kumpulan kami, jika dasar 'kesusahan sama dirasa' dipraktikkan dengan adil.
Pihak JPN barangkali memandang remeh bakti kami selama dua tahun di kawasan ulu Kelantan, walaupun ramai antara kami yang sudah memiliki keluarga dan kediaman tetap di PPD asal. Ada yang terpaksa berulang alik dengan kenderaan sendiri, bas dan kereta api seawal jam 4 pagi ke tempat bertugas.
Urusan keluarga sudah menjadi tidak terurus kerana terpaksa turun awal dari rumah dan pulang pada lewat petang atau hanya sempat menjenguk keluarga pada setiap hujung minggu sahaja, itu pun jika tidak ada aktiviti di sekolah.
Saya mewakili rakan-rakan senasib memohon jasa baik JPN Kelantan untuk memberi perhatian terhadap kes kami ini, semoga program murni ini dapat diteruskan dengan sebaik-baiknya.
Ulu Kelantan
Guru Pendidikan Islam kecewa JPN Kelantan mungkir janji?
Utusan Malaysia Online: 9 April 2012
No comments:
Post a Comment