KUALA LUMPUR 10 April - Sebahagian besar daripada 200,000 penuntut asing yang membanjiri negara ini sanggup membayar yuran pengajian lebih tinggi daripada yang dikenakan ke atas rakyat tempatan.
Sebagai perbandingan, setiap penuntut asing di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) perlu membayar yuran pengajian peringkat Sarjana Muda sebanyak RM5,000 hingga RM20,000 setiap semester bergantung kepada jurusan yang diambil.
Penuntut tempatan di UIAM pula cuma dikenakan yuran pengajian peringkat serupa sebanyak RM1,000 hingga RM1,500 sahaja setiap semester.
Namun, perbezaan kadar yuran itu tidak menghalang Sidi Mohamed, 21, meninggalkan negara kelahirannya, Mauritania, bagi mengikuti jurusan Sarjana Muda Teknologi Maklumat di UIAM.
"Sepanjang lapan bulan belajar di sini, saya merumuskan jumlah yang dibayar itu amat berpatutan dengan kualiti pendidikan yang diterima.
"Memang berbaloi saya belajar di Malaysia. Bayar lebih pun tak apa kerana ilmu yang ditimba jauh lebih berharga," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Penuntut jurusan Sarjana Muda Ekonomi UIAM, Mukhtar Ismail, 23, pula berkata, penuntut tempatan sepatutnya bersyukur kerana dikenakan yuran yang jauh lebih rendah.
Dia yang berasal dari Somalia tidak menyifatkan perbezaan kadar yuran itu sebagai satu diskriminasi antara penuntut tempatan dan penuntut asing.
"Rakyat Malaysia sememangnya beruntung kerana mereka tidak perlu mengeluarkan wang yang banyak untuk bergelar penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA)," ujarnya.
Pandangan serupa turut dikongsi penuntut jurusan Sarjana Muda Undang-Undang UIAM, Md. Boniamin, 21, yang melihat kos melanjutkan pengajian tinggi di Malaysia masih rendah jika dibandingkan dengan negara-negara Barat.
Md. Boniamin yang berasal dari Khulna, Bangladesh memberitahu, dia tidak menerima biasiswa atau pinjaman daripada mana-mana pihak bagi membiayai kos pengajiannya di negara ini.
"Kami sekeluarga sanggup mengeluarkan wang simpanan agar saya dapat mencapai cita-cita sebagai seorang peguam yang mahir dalam bidang syariah," jelasnya.
Dia menambah, yuran pengajian yang dibayar itu tidak dianggap sebagai beban tetapi merupakan satu pelaburan ke arah masa depan yang lebih cemerlang bagi dirinya dan keluarga.
Dalam pada itu, Abdulahi Durde, 22, dari Ethiopia melihat kerajaan Malaysia berjaya mewujudkan persekitaran yang sesuai bagi proses pembelajaran di kesemua IPTA di negara ini termasuk UIAM.
"Berdasarkan pemerhatian saya, kesemua infrastruktur yang disediakan oleh kerajaan berupaya membentuk insan yang cemerlang dari segi akademik dan kokurikulum.
"Misalnya, kita dapat menyaksikan sendiri bangunan-bangunan fakulti akademik yang dilengkapi pelbagai kemudahan, kompleks sukan dan masjid yang tersergam indah di UIAM," katanya.
Penuntut tahun pertama Sarjana Muda Teknologi Maklumat itu menambah, dia akan mengesyorkan kepada rakan-rakan senegaranya agar merebut peluang untuk melanjutkan pelajaran di Malaysia.
Penuntut Sarjana Pentadbiran Pendidikan, Abdul Majid Mohamad, 27, dari Yemen pula memberitahu, pengalamannya melanjutkan pengajian di negara ini memang menyeronokkan.
Kata Abdul Majid, sifat rakyat Malaysia yang mudah mesra dan suka menghulurkan bantuan menjadikannya tidak kekok ketika berada di negara ini.
"Cuma saya agak sayu apabila memikirkan terpaksa meninggalkan negara ini setelah tamat pengajian lima bulan lagi," ujarnya.
- Utusan, 11 April 2012
No comments:
Post a Comment