Powered by Blogger.

Wednesday, May 09, 2012

3 Lagi Kolej Komuniti Akan Dibina di Sarawak RMK-10

  NR       Wednesday, May 09, 2012


UNTUK KENANGAN: Jabu (tengah) dan Amir (lima kiri) bersama pengarah-pengarah Kolej Komuniti Wilayah Sarawak bergambar dengan penerima-penerima Anugerah Pelajar Cemerlang sempena Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Wilayah Sarawak Ke-8 di Kuching, semalam

KUCHING: Tiga lagi Kolej Komuniti akan dibina di Sarawak di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Kolej Komuniti, Kementerian Pengajian Tinggi Amir Md Noor berkata pelaksanaan pembinaannya dijangka bermula selewat-lewatnya pada 2014.

“Tiga Kolej Komuniti baharu ini akan dibina di Sarikei, Sibu dan satu lagi masih dalam proses mengenal pasti tempat,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Beliau ditemui sempena Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Wilayah Sarawak Ke-8 yang disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu.

Hadir sama ialah Pengarah Kolej Komuniti Mas Gading merangkap Pengerusi Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Wilayah Sarawak Chow Tio Kiong.

Dengan pembinaan tiga kolej baharu tersebut, Sarawak akan mempunyai sebanyak lapan Kolej Komuniti.

Lima Kolej Komuniti sedia ada ialah di Kolej Komuniti Mas Gading, Kolej Komuniti Kuching, Kolej Komuniti Cawangan Santubong, Kolej Komuniti Cawangan Betong dan Kolej Komuniti Miri.

Mengenai kemasukan graduan Kolej Komuniti dalam pasaran pekerjaan, Amir berkata ia merekodkan kadar yang baik.

“Secara umumnya di Sarawak ialah sebanyak 70 peratus dan peringkat nasional 75 peratus yang telah diserapkan dalam pelbagai bidang pekerjaan.

“Bakinya, sesetengah daripada mereka kami libatkan dengan program kebolehpasaran dan kini ramai yang menjadi usahawan,” jelas beliau.

Selain itu, beliau berkata Kolej Komuniti dengan kerjasama kerajaan negeri turut menjalankan program pembelajaran sepanjang hayat.

Menurut beliau, tahun lepas seramai 219,000 orang di seluruh negara telah dilatih di bawah peruntukan Latihan 1Malaysia tersebut.

Amir menambah tahun ini, program di Kolej Komuniti akan diteruskan dengan program latihan kemahiran ‘Strategic Action Youth 1Malaysia’ (SAY1M).

“Sarawak juga akan mendapat peruntukan untuk latihan ini.

“Kami telah memohon sebanyak RM55 juta dan Perdana Menteri meluluskan RM200 juta.
“Kami masih menunggu dan apabila dapat nanti kami akan terus menjalankannya,” katanya.

Majlis konvokesyen menyaksikan seramai 239 graduan Kolej Komuniti daripada Mas Gading, Kuching, Santubong dan Betong menerima sijil masing-masing.

Bagi Kolej Komuniti Miri, ia masih belum melahirkan graduan kerana baharu sahaja beroperasi tahun lepas dan hanya menjalankan program kursus pendek kepada masyarakat setempat.

Setakat ini, Kolej Komuniti Wilayah Sarawak telah melahirkan seramai 1,154 graduan dalam bidang fesyen, elektrik, pelancongan, lukisan pelan, landskap dan teknologi maklumat.

- UB
logoblog

Thanks for reading 3 Lagi Kolej Komuniti Akan Dibina di Sarawak RMK-10

Previous
« Prev Post

No comments: