KUALA LUMPUR: Saban tahun, 16 Mei tetap dan akan terus dirai sebagai Hari Guru meskipun dunia pendidikan semakin berubah, menjadikancabaran yang dihadapi guru kini lebih hebat, sekaligus menuntut pendekatan inovasi serta kreativiti bagi melaksanakan tugas mendidik generasi Y dan Z.
Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Malaysia Profesor Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan berkata, guru perlu bijak memanfaatkanteknologi terkini, khususnya teknologi maklumat bagi mendekati pelajar.
“Guru perlu memanfaatkan media sosial seperti Facebook atau Twitter dan mengunakan media itu sebagai alternatif untuk menyampaikan bahan pembelajarandi samping mendekati dan memahami pelajar mereka,” katanya ketika dihubungi Bernama sempena sambutan Hari Guru.
Generasi Y merujuk kepada kelompok yang lahir antara 1977 dan 1997 manakala generasi Z lahir antara 1998 hingga sekarang.
Meskipun perubahan pendekatan itu perlu, beliau berkata guru jangan sesekali melupakan cara lama seperti sentiasa mendekati pelajar secara bersemuka selainmengenali serta bermesra dengan keluarga pelajar mereka.
Mohamad Ali juga berkata menyediakan anak-anak dengan kemahiran dan kehidupan alaf baharu bukan hanya tanggungjawab guru dan sekolah, sebaliknya turut melibatkan ibu bapa yang perlu memahami sepenuhnya tugas serta peranan guru dalam mendidik anak mereka.
Beliau berkata, ibu bapa perlu bekerjasama erat dan sentiasa berbincang dengan guru mengenai hal berkaitan anak mereka.
“Pembelajaran anak-anak kita perlu keseimbangan antara penyampaian ilmu dan pembentukan akhlak mulia. Saya percaya dengan kerjasama erat antara guru dan ibubapa ini dapat menjadi kenyataan,” katanya yang mempunyai pengalaman lebih 40 tahun dalam bidang pendidikan dan kini bertugas sebagai pensyarah bidang geologi di Universiti Malaya.
Presiden Persatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat, Mohamed Sabri Mohd Arsad berkata guru kini perlu menguasai kemahiran teknologi maklumat (IT) untuk menyampaikan ilmu dan menarik minat belajar anak didik mereka.
“Pelajar sekarang mempunyai pengetahuan luas dalam IT dan menggunakan pengetahuan IT mereka bagi mendapatkan maklumat di Internet. Ini menyebabkanmereka kadangkala mempunyai pengetahuan yang lebih daripada guru mereka,” katanya.
Mohamed Sabri, seorang guru besar di Pahang, berkata guru kini perlu menggunakan teknologi seperti persembahan multimedia di kelas dan laman sosial dalam menyampaikan ilmu kepada pelajar. — Bernama, 17 Mei
No comments:
Post a Comment