Powered by Blogger.

Monday, May 14, 2012

Ibu Bapa Sanggup Dukung Anak Setiap Hari Untuk Ke Sekolah

  NR       Monday, May 14, 2012

MCA menyampaikan sumbangan kepada ibu bapa Yong Ying bagi membantu keluarga berkenaan

KOTA BHARU - Menghidap pelbagai penyakit berbahaya tidak pernah mematahkan semangatnya seorang murid Sekolah Rendah jenis Kebangsaan (Cina) Chung Cheng yang bercita-cita menjadi guru.

Semangatnya semakin kuat apabila mengenang dia menghidap beberapa penyakit berbahaya iaitu berkaitan darah tersumbat atau nama saintifiknya, ‘Polyateritis Nodosa’ dan pernah mendapat strok ringan dua tahun lalu.

Malah, lebih menyedihkan setiap hari persekolahan, Ling Yong Ying, 12, terpaksa didukung ibu bapanya untuk berulang alik dari sekolah ke rumahnya.

“Semua yang saya lalui setiap hari bagi menimba ilmu dijadikan pembakar semangat untuk berjaya dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang bakal ditempuh beberapa bulan lagi. “Saya kasihan melihat ibu dan bapa terpaksa mendukung saya sampai ke kelas, jadi saya tekad untuk menjadi guru bagi membalas pengorbanan mereka,” katanya ketika lawatan pemimpin MCA di rumahnya di Jalan Kelochor, di sini.

Yong Ying mengalami penyakit berbahaya itu apabila secara tiba-tiba dia sesak nafas ketika berada di sekolah, lalu mendapat rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

Biarpun dirawat, namun keadaannya masih tidak berubah, dia akhirnya dirujuk di Hospital Selayang, Selangor dan disahkan menghidap penyakit darah tersumbat.

Akibat daripada penyakit itu, Yong Ying turut menerima beberapa kesan termasuk bengkak jantung, darah tinggi, masalah darah tersumbat, buah pinggang, limpa dan otak.

“Saya juga ada masalah pendengaran yang tidak seimbang, jadi guru mengambil langkah prihatin dengan meletakkan saya di bahagian depan kelas bagi memudahkan saya mendengar apa yang diajar,” katanya.

Bagi ibunya, Wee Guet Chen, 52 berkata, setiap bulan, anak bongsu daripada tiga beradik itu akan ke Hospital Selayang untuk menerima suntikan ubat bagi penyakit anaknya itu, manakala ke Institut Jantung Negara (IJN) sebanyak dua kali setahun.

Agak malang bagi keluarga itu kerana Guet Chen menghidap penyakit ‘kaki gajah’ di sebelah kaki kanannya, manakala suaminya, Ling Kok Leong, 55, kini terpaksa berhenti kerja sebagai mekanik untuk menjaga anak perempuannya.

“Sekarang ini, kami sekeluarga hanya bergantung kepada bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan, bantuan sekolah, pertubuhan dan juga MCA yang sentiasa bersimpati. “Kami juga bernasib baik kerana perbelanjaan bagi kos rawatan Yong Ying pula kira-kira RM50,000 setahun ditanggung sepenuhnya oleh Kementerian Kesihatan,” katanya.

Pasangan itu juga mempunyai dua anak, yang sulung lelaki berusia 21 tahun dan perempuan masih bersekolah berusia 14 tahun.

Sesiapa yang ingin menghulurkan bantuan boleh mengunjungi keluarga itu yang beralamat di 436, Jalan Kelochor, berdekatan SRKJ (C) Chung Cheng, di sini atau menghubungi talian 014-6051288.

- SH
logoblog

Thanks for reading Ibu Bapa Sanggup Dukung Anak Setiap Hari Untuk Ke Sekolah

Previous
« Prev Post

No comments: