Powered by Blogger.

Monday, May 07, 2012

Pengajaran J-Qaf di Sekolah Menengah Ditangguh Kerana Kurang Guru

  NR       Monday, May 07, 2012
Gambar Hiasan - 13,000 guru J-Qaf Diperlukan surat khabar 2011

BATU PAHAT: Pelaksanaan pengajaran J-Qaf (Jawi, Al-Quran, Arab dan Fardu Ain) di sekolah menengah di seluruh negara yang dijadual bermula pertengahan tahun ini, akan ditangguhkan kerana masalah kekurangan guru, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi. 

Beliau berkata, penangguhan dibuat memandangkan terdapat kekurangan kira-kira11,000 guru J-Qaf di sekolah kebangsaan yang sekaligus menghalang pengajarannya diteruskan ke peringkat sekolah menengah.

"Kita perlu menyelesaikan dahulu kekurangan guru J-Qaf di sekolah kebangsaan yang menjadi keperluan mendesak ketika ini. Terdapat beberapa cadangan untuk meningkatkan jumlah guru itu dan ia akan dibincangkan pada mesyuarat pasca Kabinet Kementerian Pelajaran minggu depan bagi mendapatkan penyelesaian," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung dan penyampaian anugerah pelajar cemerlang Sekolah Agama Kampung Sungai Suloh, Senggarang, di sini, hari ini. 

Mohd Puad yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat berkata, antara cadangan kementerian bagi meningkatkan jumlah guru J-Qaf adalah dengan melatih lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mempunyai latar belakang pendidikan agama di Institut Pendidikan Guru (IPG) sebelum diserapkan menjadi guru. 

Beliau berkata, kerajaan ada mengambil guru lepasan ijazah dari Timur Tengah untuk berkhidmat sebagai guru J-Qaf di negara ini, namun, jumlah itu belum memadai bagi menampung keperluan ketika ini. 

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Disember lalu mengumumkan program perintis J-Qaf di sekolah menengah akan dilaksanakan mulai pertengahan tahun ini dan pelaksanaan sepenuhnya pada 2013 di sekolah menengah seluruh negara. - BERNAMA 

logoblog

Thanks for reading Pengajaran J-Qaf di Sekolah Menengah Ditangguh Kerana Kurang Guru

Previous
« Prev Post

No comments: