Powered by Blogger.

Sunday, June 17, 2012

Kubur Guru Wanita Digali Semula

  NR       Sunday, June 17, 2012


TUMPAT – Bapa kepada seorang guru wanita yang meninggal dunia dua hari lalu terpaksa reda kubur anaknya itu terpaksa digali semula oleh polis di Tanah Perkuburan Islam Lada, Wakaf Bharu, di sini, petang semalam.

Bapa Allahyarham, Shamsuddin Yusoff, 63, terpaksa akur dengan prosedur siasatan polis dan perintah yang dikeluarkan oleh mahkamah untuk melakukan bedah siasat ke atas mayat anak sulungnya itu, Balqis, 40.

Khamis lalu, Balqis dikatakan mati mengejut dipercayai akibat sakit jantung di rumahnya di Taman SBJ Pasir Pekan, di sini.

Kematian disedari oleh salah seorang anaknya pada pagi Khamis lalu yang masuk ke dalam bilik tidur untuk mengejutkan arwah bangun tetapi didapati arwah sudah meninggal dunia.

Shamsudin berkata, polis curiga kematian anaknya itu dan untuk menyiasat punca sebenar kematiannya, kubur itu terpaksa digali semula.

Kubur itu digali oleh sepasukan anggota Forensik Polis Kelantan kira-kira jam 5 petang yang turut dihadiri Imam Masjid Wakaf Bharu, Wan Ahmad Nazree Abdul Halim; Majistret Tumpat, Ahmad Adha Amir Yasin dan juga Jabatan Agama Jajahan Tumpat.

Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, pihaknya telah mendapatkan perintah daripada Mahkamah Majistret Tumpat untuk menggali semula kubur guru wanita itu.

“Semalam kita telah menerima laporan oleh bapa si mati mengatakan arwah meninggal dunia disebabkan dipukul oleh suaminya. Oleh itu pihak polis terpaksa menyiasat dan pohon perintah majistret untuk menggali semula kubur berkenaan.

“Jenazah tersebut dihantar ke hospital untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian,” katanya ketika ditemui pemberita di Kota Bharu.

- SH
logoblog

Thanks for reading Kubur Guru Wanita Digali Semula

Previous
« Prev Post

No comments: