Powered by Blogger.

Thursday, August 09, 2012

PPKS Mukah terima Sijil 5S daripada MPC

  NR       Thursday, August 09, 2012

MUKAH: Tanggal 1 Ogos lepas, Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (PPKS) Mukah melakar sejarah tersendiri apabila menerima Sijil Amalan Persekitaran Berkualiti (5S) daripada Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

Pengarah Wilayah PPKS Mukah merangkap pengerusi Jawatankuasa Pelaksana 5S, Albar Abdul Rahman berkata, persediaan bagi pensijilan tersebut telah bermula sebaik sahaja kerja-kerja pengubahsuaian bangunan PPKS Mukah dijalankan.

Dengan kemasukan para pelatih pada awal tahun 2012, katanya, kempen secara rasminya telah dilancarkan pada 14 Januari lepas dengan gotong-royong perdana, yang melibatkan semua kakitangan dan pelatih.

“Sebuah Jawatankuasa Pelaksana 5S juga telah ditubuhkan. Di bawah jawatankuasa induk tersebut, terdapat lima jawatankuasa kerja terdiri daripada Jawatankuasa Kerja Latihan, Promosi, Audit, Keselamatan & Kesihatan Persekitaran dan Dokumentasi,” ujarnya.

5S merujuk kepada pengurusan persekitaran tempat kerja yang lebih seragam dan sistematik, yang sekali gus dapat membantu warga kerja sesebuah organisasi bekerja dalam persekitaran yang kondusif, selesa dan selamat.

Diterjemah dari istilah asal dalam Bahasa Jepun, 5S tersebut membawa maksud Seiri (Sisih), Seiton (Susun), Seiso (Sapu), Seiketsu (Seragam) dan Shitsuke (Sentiasa Amal).

Menurut Albar lagi, PPKS Mukah secara fizikalnya telah dibahagikan kepada empat zon yang dinamakan mengikut nama bunga dan warna iaitu Akasia (kuning), Mawar (merah), Iris (biru) dan Lavender (ungu).

“Pelbagai kursus, taklimat dan sesi latihan telah dan akan diadakan. Ini bagi memastikan yang setiap warga kerja dan pelatih PPKS Mukah dapat membudayakan 5S di mana-mana sahaja.

“Di PPKS Mukah, setiap petang Jumaat telah diperuntukkan sebagai Hari 5S. Manakala, maklumat dan aktiviti berkaitan 5S disalurkan melalui Buletin 5S yang dikeluarkan secara bulanan,” jelas beliau.

Sebagai persediaan sebelum audit persijilan sebenar diadakan, audit dalaman telah diadakan sebanyak dua kali iaitu kali pertama pada 19 April tahun ini dan pada 11 Mei 2012 lepas.

Ini diikuti dengan pengauditan Pensijilan Amalan Persekitaran Berkualiti (5S) oleh MPC yang diketuai sendiri oleh Pengarah MPS Sarawak, Suhaimy Abdul Talib pada 21 Jun lepas.

“Tahniah kepada warga kerja dan pelatih PPKS Mukah. PPKS Mukah akan berterusan menambahbaik Amalan 5S yang telah dicapai.

“Dengan pengiktirafan ini, PPKS Mukah akan terus berusaha memberikan perkhidmatan yang terbaik. Sasaran berikutnya, PPKS Mukah akan berusaha mendapat pengiktirafan ISO,“ tambah Albar.

- UB
logoblog

Thanks for reading PPKS Mukah terima Sijil 5S daripada MPC

Previous
« Prev Post

No comments: