Powered by Blogger.

Thursday, August 09, 2012

UMS Dapat Geran RM60,000 Daripada Finas Terbit Dokumentari Etnik Bajau

  NR       Thursday, August 09, 2012

Krew produksi melibatkan para pensyarah dan pelajar Sekolah Pengajian Seni UMS bergambar kenangan dengan sebahagian peduduk Pulau Omadal di Semporna, baru-baru ini.

KOTA KINABALU 7 Ogos - Sekolah Pengajian Seni (SPS), Universiti Malaysia Sabah (UMS) memperolehi geran berjumlah RM60,000 daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) bagi menghasilkan dokumentari kehidupan kaum Bajau di Pulau Omadal, Semporna, Sabah.

Kejayaan itu merupakan hasil daripada sesi pembentangan yang dibuka kepada semua pembikin dan produser filem di Sabah dan Sarawak bagi projek penerbitan dokumentari khas Eye On Borneo yang dianjurkan oleh Finas.

Pensyarah Filem SPS yang juga Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Akademik UMS, Dr. Zairul Anuar Md. Dawam berkata, universiti itu bertuah kerana diberi peluang oleh Finas dalam projek Eye On Borneo dengan kerjasama North Borneo Media Sdn. Bhd.

"Kami berharap projek ini dapat menjadi titik permulaan kepada UMS untuk menceburi bidang penerbitan filem dokumentari berdasarkan penyelidikan oleh para pensyarah," katanya di sini baru-baru ini.

Zairul berkata, pembikinan dokumentari membuktikan hasil penyelidikan yang dilakukan di institusi pengajian tinggi tempatan amat penting dan ia berpotensi untuk disiarkan melalui rangkaian televisyen tempatan dan antarabangsa.

Tambahnya, penerbitan dokumentari terutama daripada aspek penyediaan skrip memerlukan ketepatan fakta dan sumber yang boleh dipercayai.

Beliau berkata, idea asal menerbitkan dokumentari itu timbul daripada penyelidikan pensyarah SPS iaitu Mohd. Azareen Aminullah yang mengkaji reka bentuk dan motif batu nisan yang terdapat di Pulau Omadal.

Katanya, berdasarkan bahan penyelidikan tersebut, ternyata reka bentuk dan motif yang terdapat pada batu nisan atau dikenali dalam bahasa Bajau sebagai 'sunduk' mempunyai keunikan tersendiri yang harus dikongsi dengan masyarakat lain.

"Ukiran dan pembuatan sunduk menggambarkan kehidupan masyarakat Bajau yang sentiasa mementingkan perhubungan dan ikatan persaudaraan bermula sejak awal kehidupan sehingga seseorang itu telah meninggal dunia," katanya.

Pembikinan dokumentari di Pulau Omadal itu mengambil masa selama seminggu, melibatkan para pelajar SPS selaku krew produksi dan pensyarah serta tutor Seni Visual, Puad Bebit dan Ismail Norazman sebagai Penolong Pengarah Bersama.

Mengenai kerjasama dengan North Borneo Media Sdn. Bhd., Zairul berkata, syarikat itu akan membantu mendapatkan slot-slot bagi rancangan di RTM dan rangkaian televisyen lain.

Katanya, dengan bantuan syarikat produksi filem yang berpengalaman, pihaknya berhasrat untuk terlibat dalam bidang penerbitan filem dokumentari secara komersial.

- Utusan
logoblog

Thanks for reading UMS Dapat Geran RM60,000 Daripada Finas Terbit Dokumentari Etnik Bajau

Previous
« Prev Post

No comments: