Powered by Blogger.

Saturday, January 04, 2014

Pensyarah Matematik Dihukum Penjara Sehari, Denda RM25,000 Kerana Menerima Wang Sogokan Pelajar

  NR       Saturday, January 04, 2014
Chee Wai dibawa keluar dari Mahkamah Khas Rasuah di Ipoh, semalam

IPOH 3 Jan. - Seorang bekas pensyarah Institut Teknologi Perak (ITP) dihukum penjara sehari dan denda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan menerima sogokan berjumlah RM1,130 daripada dua pelajarnya sebagai dorongan menambah markah peperiksaan, tiga tahun lalu.

Hakim Madihah Harullah menjatuhkan hukuman tersebut setelah Wong Chee Wai, 41, pensyarah di Jabatan Matematik dan Statistik ITP menukar pengakuannya kepada bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan kepadanya.

Ketika pertama kali dihadapkan ke mahkamah pada 31 Oktober lalu, tertuduh mengaku tidak bersalah bagi kesemua pertuduhan tersebut.

Tertuduh dari Taman Indah Jaya di sini didakwa menerima suapan wang tunai tersebut menerusi lima transaksi antara 14 September 2011 dan 8 Februari 2012 di institut berkenaan.

Bagi pertuduhan pertama, Chee Wai didakwa menerima rasuah RM140 daripada seorang pelajar perempuan sebagai dorongan untuk menaikkan markah penilaian berterusan bagi subjek Matematik IV bagi Semester I, sesi 2011/2012 di Perpustakaan ITP pada pukul 4.15 petang, 14 September 2011.

Dia turut didakwa menerima wang tunai RM140 daripada pelajar tersebut bagi tujuan sama di hadapan sebuah kelas di tingkat 3, Blok E, ITP pada pukul 3 petang, 12 Oktober 2011.

Pertuduhan ketiga pula menyebut bahawa Chee Wai dituduh menerima suapan RM250 sebagai dorongan untuk menaikkan markah penilaian berterusan bagi subjek Statistik oleh seorang pelajar lelaki yang mengulang mata pelajaran itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di ruang tangga antara Blok C dan Blok D, ITP pada pukul 4 petang, 10 Oktober 2011.

Dia turut dituduh menerima suapan wang tunai RM300 daripada pelajar sama sebagai dorongan menaikkan markah penilaian berterusan bagi subjek Matematik III untuk Semester II, sesi 2011/2012 di dalam sebuah kelas di tingkat 3A, ITP pada pukul 10.30 pagi, 3 Februari 2012.

Bagi pertuduhan kelima, Chee Wai dituduh menerima suapan RM300 daripada pelajar berkenaan bagi tujuan sama di ruang tangga antara Blok C dan Blok D, ITP pada pukul 2 petang, 8 Februari tahun lalu.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda jumlah suapan, mana yang lebih tinggi.

- Utusan Malaysia
logoblog

Thanks for reading Pensyarah Matematik Dihukum Penjara Sehari, Denda RM25,000 Kerana Menerima Wang Sogokan Pelajar

Previous
« Prev Post

No comments: