Powered by Blogger.

Wednesday, September 26, 2012

Lebih 10 Ribu Sekolah Akan Dibekal Internet Menjelang Jun 2014

  NR       Wednesday, September 26, 2012
KUALA LUMPUR, 25 Sept – Sebanyak 10,019 buah sekolah kerajaan di seluruh negara akan dilengkapi akses Internet berkelajuan tinggi dan platform pembelajaran maya, menjelang Jun 2014.

Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Seri Wee Ka Siong berkata di bawah projek 1BestariNet itu, sekolah terlibat akan dibekalkan dengan talian fiber kelajuan 4mbps yang boleh ditingkatkan hingga 20mbps.

“Manakala sekolah kawasan pedalaman dan luar bandar yang mempunyai lebih 600 buah sekolah akan dibekalkan dengan talian ‘Very Small Aperture Terminal’ (VSAT) dengan kelajuan 2mbps yang boleh ditingkatkan kepada 4mbps.

“Projek ini mengubah platform pendidikan di Malaysia serta merapatkan jurang digital di antara murid kawasan bandar dan luar bandar dengan menyediakan pendidikan berteras Internet berkualiti kepada semua rakyat,” katanya ketika menjawab soalan Er Teck Hwa (DAP-Bakri) di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Er ingin tahu jumlah peruntukan di bawah program tersebut dan sekolah yang tersenarai.

Wee berkata Majlis Ekonomi Negara mengenal pasti sejumlah RM660 juta untuk diperuntukkan bagi membolehkan projek itu dilaksanakan di semua sekolah bermula awal tahun ini.

Beliau berkata kontraktor yang terpilih untuk menyediakan kemudahan ini merupakan pemegang lesen serta pembekal kemudahan dan perkhidmatan rangkaian di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memiliki keupayaan dan kepakaran dalam pembekalan sistem perhubungan jalur lebar.

Katanya, kontraktor tersebut merupakan pemilik dan operator bagi system rangkaian telekomunikasi di bawah jenama dagangan YES, iaitu rangkaian perkhidmatan Internet boleh alih bercantum perkhidmatan suara telefoni awam atas pelantar jalur lebar 4G WiMax.

Beliau berkata pelaksanaan 1BestariNet adalah berdasarkan hasil kajian BCG Consulting Group dan pemantauan oleh Projek SchoolNet yang dilaksanakan sebelum ini.

“Sebarang perkhidmatan lain di luar kontrak, perlu mendapat kelulusan kerajaan dan keputusan dibuat berdasarkan kepada keadaan pada waktu itu dan akan memberi pertimbangan atas kepentingan awam,” katanya.

- Bernama
logoblog

Thanks for reading Lebih 10 Ribu Sekolah Akan Dibekal Internet Menjelang Jun 2014

Previous
« Prev Post

No comments: