KUALA LUMPUR: Ratu terjun negara Pandelela Rinong Pamg akan melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya (UM) dalam bidang Sains Sukan dan hanya menunggu surat pengesahan kemasukan ke universiti elit tanah air itu.
Pemenang pingat gangsa Olimpik itu berkata beliau memilih institusi berkenaan kerana berdekatan dengan pusat latihannya di Bukit Jalil.
“Saya ada masalah ‘transport’. Kalau saya pilih universiti yang lagi jauh dari Bukit Jalil sukar nanti untuk saya berulang-alik (dari tempat latihan). “Lagipun rakan sepasukan Brian (Nickson Lomas) juga belajar di situ,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian jam tangan edisi baru Oris di sebuah pusat beli-belah di ibu kota, di Kuala Lumpur, semalam.
Turut hadir seorang lagi Olimpian negara iaitu atlet berbasikal trek Mohd Azizulhasni Awang.
Masing-masing turut menerima hadiah seutas jam tangan jenama tersebut sebagai penghargaan atas kejayaan dan usaha mereka dalam bidang sukan khususnya pada temasya Olimpik baru-baru ini.
Gadis berusia 19 tahun itu turut berharap dapat memanfaatkan bidang pengajian pilihannya untuk memberi sumbangan dalm sukan terjun serta mempopularkan lagi sukan berkenaan pada masa hadapan.
Pandelela berkata buat masa ini beliau tidak mempunyai komitmen dalam sebarang kejohanan.
“Selepas Olimpik tiada pertandingan jadi jurulatih beri kelonggaran untuk saya menghadiri ‘interview’ dan sebagainya,” katanya. — Bernama
No comments:
Post a Comment