Powered by Blogger.

Wednesday, September 26, 2012

Pelajar Perempuan Tingkatan 6 Dibelasah, Disamun Rakan Sekelas

  NR       Wednesday, September 26, 2012
KUALA LIPIS - Seorang pelajar lelaki tingkatan enam, di sini, ditahan selepas terbabit dalam kes pukul dan samun rakan sekelasnya.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5.45 petang semalam, mangsa, pelajar perempuan berusia 18 tahun dipukul dengan helmet di kepala, selain ditendang berkali-kali oleh suspek.

Menurutnya, suspek turut bertindak melarikan rantai leher mangsa yang bernilai RM1,000 selepas membelasah mangsa.

“Kes itu dipercayai gara-gara rakan wanita suspek gagal menjelaskan hutang yang tidak diketahui jumlahnya,” katanya di sini, semalam.

Abdul Razak berkata, dalam kejadian di Rumah Rehat Tanjung Lipis itu, mangsa ditemani tiga rakannya bertemu suspek dipercayai bagi menyelesaikan kes hutang berkenaan.

“Tiba di tempat berkenaan, suspek terus melenting dan bertindak memukul mangsa. Mangsa yang cedera di kepala dan muka menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Kuala Lipis,” katanya.

Abdul Razak berkata, suspek kemudiannya melarikan diri dengan motosikal, bagaimanapun berjaya ditahan polis pada jam 8 malam selepas mangsa membuat laporan polis pada jam 6.10 petang.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek mempunyai satu kes jenayah mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang akan dibicarakan Oktober ini.

“Suspek kini ditahan reman di lokap Balai Polis Kuala Lipis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

- SH
logoblog

Thanks for reading Pelajar Perempuan Tingkatan 6 Dibelasah, Disamun Rakan Sekelas

Previous
« Prev Post

No comments: