TEMERLOH- Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak
sepatutnya mempunyai masalah membayar balik pinjaman kerana mereka boleh berbuat demikian pada kadar serendah RM50 sebulan.
Pengerusinya Datuk Ismail Mohamed Said berkata PTPTN juga amat bertolak ansur dengan peminjam kerana agensi itu bersedia berunding menjadualkan semula pembayaran balik.
"Bukan matlamat PTPTN untuk mengambil tindakan tegas kepada pelajar, tetapi bagi memberikan peringatan supaya pelajar yang berhutang dengan PTPTN dapat berhubung dan berurusan dengan kita dan tidak mendiamkan diri," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Katanya PTPTN kesal kerana ada peminjam yang sudah mendapat pekerjaan namun bukan sahaja tidak membayar balik pinjaman, tetapi juga tidak mengendahkan notis peringatan.
Sehingga Februari lalu, PTPTN memberi pinjaman kepada 1.95 juta pelajar membabitkan peruntukan RM43.6 bilion.
Ismail yang juga Anggota Parlimen Kuala Krau, berkata sehingga Februari lalu juga seramai 1,201,726 pelajar telah membuka akaun di bawah Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) membabitkan simpanan sebanyak RM598.22 juta. -Bernama, 22 Ogos 2012
No comments:
Post a Comment