Powered by Blogger.

Wednesday, October 17, 2012

Graduate Career Accelerated Programme (GCAP) Bantu Siswazah Menganggur

  NR       Wednesday, October 17, 2012

KUALA LUMPUR: Siswazah menganggur kini diberi peluang unik mengikuti program latihan selama enam minggu tajaan kerajaan bagi membantu mereka mendapatkan pekerjaan.

Dikenali sebagai Graduate Career Accelerated Programme (GCAP), program ini menawarkan latihan peningkatan kemahiran untuk mencerahkan peluang siswazah diambil bertugas dalam industri perkhidmatan.

Program latihan ini mengutamakan pemberian pengalaman dan bersifat interaktif untuk memberi kelebihan istimewa kepada peserta, di samping mempersiap lepasan universiti untuk menghadapi cabaran pasaran kerja yang amat berdaya saing kebelakangan ini.

GCAP, yang ditaja TalentCorp – sebuah badan di bawah Pejabat Perdana Menteri – diurus My-Partners Sdn Bhd dan disusun serta dilaksanakan oleh Scicom Education Group untuk memberi pendidikan formal serta mempersiap modal insan berkelayakan menyertai industri pengurusan perkhidmatan.

Ketua Pegawai Operasi Scicom Education Group Jude Mohan memberitahu Bernama bahawa GCAP dijalankan dalam bahasa Inggeris dan memberi penekanan untuk menambah baik kemahiran komunikasi lisan para pelatih.

“Modulnya memberi penekanan terhadap usaha melengkapkan siswazah dengan kemahiran asas serta kaedah komunikasi dalam persekitaran perniagaan dan perkhidmatan. Sesi bahasa Inggeris secara bertulis dan lisan diadakan untuk meningkatkan keyakinan pelatih untuk menghadapi masa depan yang lebih cerah.

“Latihan ini melibatkan komunikasi secara berkesan, bercakap dalam bahasa Inggeris dengan yakin, membuat pembentangan seperti seorang profesional, menangani peluang pekerjaan, menguasai kemahiran profesionalisme di tempat kerja dan memperoleh kepintaran emosi yang tepat untuk maju dalam kerjaya,” katanya.

Mohan berkata setelah tamat latihan, peserta akan diberi sijil dan dirujuk kepada pelbagai syarikat, termasuk yang bergiat dalam bidang telekomunikasi, media, pelancongan, kewangan dan peruncitan untuk memberi peluang kepada mereka mendapat pekerjaan.

Sehingga kini, Scicom Education Group melatih lebih 4,000 peserta, dengan kadar kejayaan mendapat pekerjaan sebanyak 97 peratus.

Untuk layak menyertai program ini, seseorang itu mestilah warga Malaysia, memiliki ijazah daripada universiti yang diiktiraf dan tidak mempunyai pekerjaan.

Latihan diadakan di seluruh negara, manakala di venue tertentu, kemudahan penginapan disediakan dan pelatih diberi elaun harian.

“Program ini ditaja kerajaan untuk meningkatkan peluang siswazah menganggur diambil bekerja. Tujuan GCAP ialah untuk membentuk modal insan yang cekap serta memiliki kemahiran khusus untuk membolehkan mereka menyertai industri perkhidmatan, mampu meningkatkan kerjaya dalam persekitaran teknikal serta profesional dan akhirnya diberi peluang memainkan peranan dalam bidang pengurusan dan kepimpinan,” kata Mohan.

Beliau menasihati sizwazah menganggur supaya tidak melepaskan peluang keemasan ini untuk membina masa depan yang cerah.

Maklumat lanjut boleh didapati melalui www.gcap.my, e-mel: myfuture@scicom.com.my atau menghubungi 03-21764888. — Bernama

logoblog

Thanks for reading Graduate Career Accelerated Programme (GCAP) Bantu Siswazah Menganggur

Previous
« Prev Post

No comments: