Powered by Blogger.

Thursday, October 11, 2012

Konvokesyen Ke-25 UUM: Kakak Terima Ijazah Arwah Adik

  NR       Thursday, October 11, 2012
KUBANG PASU 7 Okt. - Majlis konvokesyen yang berlangsung di Universiti Utara Malaysia (UUM) hari ini diselubungi suasana muram apabila salah seorang graduan yang diumumkan sebagai penerima ijazah dimaklumkan meninggal dunia.

Skrol ijazah Allahyarham Nurul Akma Noordin, 24, telah diterima kakaknya, Haslinda, 31.

Menurut Haslinda, adiknya yang juga bekas penuntut Sarjana Muda Teknologi Maklumat sepatutnya menghadiri majlis konvokesyen universiti itu pada Oktober tahun lalu.

Bagaimanapun, dia telah terjatuh ketika bertugas di tempat kerja dan mengalami pendarahan teruk di kepala serta koma selama tiga hari sebelum meninggal dunia.

"Sepatutnya arwah menerima ijazahnya pada 3 Oktober tahun lepas, tetapi tidak sempat kerana dia pergi dahulu.

"Memanglah sedih apabila mengenangkan semua ini tetapi kami sekeluarga reda dengan pemergiannya," kata Haslinda ketika ditemui selepas majlis tersebut bersama ibu bapanya, Noordin Tompang, 56, dan Zaharah Saad, 52.

Sementara itu, Zaharah berkata, walaupun sedih, mereka kuatkan semangat untuk ke majlis itu sebagai memperingati usaha arwah selama ini.

"Walaupun arwah sudah tiada tetapi ijazah ini akan jadi kenangan kami sekeluarga tentang jasa dan pengorbanannya selama ini yang belajar bersungguh-sungguh sehingga mencapai impiannya memiliki ijazah," katanya.

Seramai 1,690 graduan menerima ijazah termasuk 132 penerima doktor falsafah (PhD), 23 penerima PhD Pentadbiran Perniagaan (DBA), 1,496 penerima ijazah sarjana dan 39 penerima diploma dalam konvokesyen selama lima hari itu.

Sementara itu, pada majlis sama, seorang siswazah orang kurang upaya (OKU) melahirkan rasa gembiranya apabila berjaya menerima ijazah sarjana dalam bidang Pentadbiran Perniagaan.

Nurul Akmal Ahmat Latpe, 24, yang dilahirkan kerdil dengan ketinggian 133 sentimeter berkata, dia tidak pernah menjadikan kekurangannya sebagai kelemahan untuk menjalani kehidupan.

"Kekurangan ini bukannya apa-apa dan saya tetap bersemangat untuk berjaya seperti orang lain," katanya yang bercita-cita menjadi pensyarah.

- Utusan Malaysia 
logoblog

Thanks for reading Konvokesyen Ke-25 UUM: Kakak Terima Ijazah Arwah Adik

Previous
« Prev Post

No comments: