Powered by Blogger.

Monday, October 01, 2012

Kerjsama PIBG, Guru Semarak Semangat Melibatkan Diri Dalam Pendidikan

  NR       Monday, October 01, 2012

KUCHING: Kerjasama kukuh antara Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) dan tenaga pengajar SK Paya Mebi dalam memperkasakan pembelajaran murid-murid diyakini menyemarakkan lagi semangat ibu bapa dan masyarakat sekolah khususnya untuk melibatkan diri dengan aktif dalam program pendidikan.

Yang Dipertua PIBG SK Paya, Mebi Shamsudin Unai berkata kini pihaknya telah menjalankan beberapa program seperti mengutip dana dan turut mengelolakan program kecemerlangan dan kebajikan di SK Paya Mebi.

“Objektif kami ialah untuk membantu murid-murid yang kurang berkemampuan, menganjurkan program motivasi peperiksaan serta memberi insentif galakan kepada pelajar cemerlang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Malam Amal PIBG SK Paya Mebi 2012 di Dewan Suarah Kuching baru-baru ini.

Majlis dirasmikan oleh Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Lo Khere Chiang dan turut dihadiri oleh Guru Besar SK Paya Mebi Hamsiah Jamil dan Ketua Kampung Paya Mebi Pori Mat.

Justeru, Shamsudin yang juga Setiausaha Sulit Menteri Muda Belia Abdul Karim Rahman Hamzah menyarankan ibu bapa agar menggunakan sepenuhnya peluang pendidikan untuk pembelajaran anak-anak agar mampu menguasai ilmu, kemahiran dan membina personaliti diri.

Katanya ia sejajar dengan harapan kerajaan di bawah dasar-dasar baharu pendidikan negara untuk melahirkan generasi yang mempunyai minda kelas pertama di sebalik kemudahan kelas pertama.

“Tanpa kelulusan dan ilmu yang mencukupi, sukar untuk anak-anak kita mempunyai masa depan yang cerah.
“Apatah lagi, anak-anak kita sekarang hidup dalam zaman yang semakin mencabar kerana masalah sosial dan ekonomi kian bertambah,” katanya.

Dalam pada itu, Shamsudin berkata galakan ibu bapa terhadap kokurikulum anak-anak juga penting bagi mengelakkan anak-anak daripada terlibat dengan masalah sosial.

“Apabila mereka mempunyai aktiviti yang baik seperti bersukan dan apa jua aktiviti kokurikulum anjuran sekolah, masa mereka akan terisi dengan sesuatu yang berfaedah dan dapat membentuk disiplin mereka,” katanya.

Sementara, Lo menekankan kepada ibu bapa agar tidak bergantung sepenuhnya kepada pihak sekolah untuk mendidik anak.

“Sekolah cuma menyediakan pendidikan formal tetapi hal mendidik akhlak dan budaya hidup anak harus menjadi tanggungjawab ibu bapa.

“Sekiranya anak-anak terlibat dalam masalah sosial, kita tidak boleh menyalahkan pihak sekolah kerana waktu anak kita di sekolah tidak lebih daripada lapan jam dan 16 jam lagi adalah di bawah jagaan ibu bapa sendiri,” katanya.

- UB
logoblog

Thanks for reading Kerjsama PIBG, Guru Semarak Semangat Melibatkan Diri Dalam Pendidikan

Previous
« Prev Post

No comments: