Powered by Blogger.

Monday, October 15, 2012

Kuisas Akan Ambil Tindakan Undang-Undang Terhadap Fitnah Sijil Graduan Diragui JPA

  NR       Monday, October 15, 2012

Mohamad Zahir menunjukkan salinan laman web JPA yang memperakui sijil graduan Kisdar sambil diperhatikan oleh Rektor Kisdar, Profesor Dr Jamil Hashim

IPOH – Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (Kuisas) mungkin mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak berhubung fitnah melibatkan status sijil graduan dan  transkrip kolej tersebut yang dikatakan diragui serta dipertikaikan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Ahli Lembaga Pengarahnya, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid berkata, kenyataan dan dakwaan yang dikeluarkan berhubung status sijil dan transkrip tanpa asas boleh mengelirukan serta meresahkan rakyat.

“Jika pihak berkaitan tidak memahami dan inginkan penjelasan, mereka boleh bertanya terus kepada pengurusan Kuisas atau saya sendiri. Bukannya dengan tindakan gelojoh membuat tohmahan.

“Kenyataan ini nyata tidak bertanggungjawab tanpa memikirkan apa impaknya terhadap pelajar di kolej berkenaan. Pihak Kerajaan Negeri turut meminta penasihat undang-undang negeri melihat jika ada asas untuk kita ambil tindakan undang-undang ke atas pihak yang menyebar maklumat itu dalam masa terdekat,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis Penyerahan Cek Pinjaman Pengajian Tinggi Negeri Perak sesi 2012/2013, semalam.

Mohamad Zahir turut menolak dakwaan Kuisas mengalami masalah kewangan seperti yang didakwa pihak tertentu malah menasihatkan agar pihak berkaitan menolak budaya mempolitikkan institusi pendidikan.

“Kita sama sekali tidak akan mempolitikkan soal pendidikan kerana ia adalah jaminan bagi masa depan rakyat dan negara namun mengapa pihak itu cuba menjadikan isu ini sebagai modal politik mereka.

“Sepatutnya jika ada sebarang kemusykilan mereka bertanyakan kepada kita dan jika ada kelemahan, perbaikilah bersama-sama, bukan membuat tuduhan, ini politik murahan,” katanya.

Katanya, Enakmen Kisdar (Pindaan) 2009 memberi kuasa kepada lembaga untuk melantik pegawai kolej secara bertulis bagi menjalankan tugas Pendaftar dan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Perak pada Disember 2009.

“Kita telah perincikan maksud ‘seorang pegawai kolej secara bertulis untuk menjalankan tugas pendaftar’ sebagai Timbalan Rektor dan Kewangan dan ia mendapat perkenan Tuanku.

“Jadi tidak timbul langsung keraguan tentang pengiktirafan atau kelayakan graduan Kisdar bagi menyertai apa-apa atau mana-mana jawatan dalam perkhidmatan awam Malaysia,” katanya lagi.   

Beliau mengulas kenyataan Koordinator Jawatankuasa Isu dan Strategik Pas Perak, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss yang mendakwa berlaku kepincangan yang kritikal mengenai pengurusan Kuisas.

Dalam sidang medianya baru-baru ini berhubung isu berkenaan, Timbalan Ketua Pemuda Pas Negeri itu berkata, isu itu didedahkan apabila pelajar kolej dan ibu bapa ragu-ragu dengan sijil-sijil kolej itu yang didakwa dipertikaikan oleh JPA.

Raja Ahmad mendakwa setiap sijil perlu ditandatangani oleh Rektor dan Ketua Pendaftar namun kini penandatangan yang kedua iaitu Ketua Pendaftar telah ditukar kepada Setiausaha Senat.

- Sinar Harian
logoblog

Thanks for reading Kuisas Akan Ambil Tindakan Undang-Undang Terhadap Fitnah Sijil Graduan Diragui JPA

Previous
« Prev Post

No comments: