DI sinilah Saravannan mati selepas bergaduh dengan dua pelajar ketika sedang menunggu bas di stesen bas Pulau Sebang, Tampin semalam.
Mangsa, K. Saravanan, 14, pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Sebang sebelum itu dipercayai berperang mulut dan cabar mencabar dengan dua pelajar sekolah berhampiran ketika berada di dalam bas sebelum persekolahan sesi pagi bermula.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka ACP Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, pergaduhan berkenaan berlarutan selepas sesi persekolahan berakhir kira-kira 2.30 petang ketika kesemua pelajar sedang menunggu bas di tingkat satu perhentian bas tersebut.
"Mangsa kemudian ditumbuk oleh seorang pelajar terbabit sebelum seorang lagi turut melakukan tindakan sama menyebabkan mangsa jatuh dan pengsan," katanya pada sidang akhbar di sini.
Katanya, kedua-dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Mansor Shah berusia 14 tahun terbabit yang melihat mangsa tidak sedarkan diri kemudian menghubungi ambulans.
Bagaimanapun Raja Shahrom berkata orang awam yang berada di kawasan tersebut bertindak membawa mangsa ke Hospital Tampin dekat sini sebelum ambulans tiba.
Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital.
Katanya, kedua-dua pelajar yang terbabit dalam kejadian itu ditahan polis ketika sedang bermain bola di Taman Sebang Gemilang di sini pada 6 petang bagi membantu siasatan.
Lima lagi pelajar yang menyaksikan kejadian tersebut turut ditahan bagi membantu siasatan, katanya.
Sehubungan itu, Raja Shahrom mengingatkan orang ramai khususnya keluarga pelajar terlibat agar tidak mengambil tindakan di luar undang-undang dan menyerahkan siasatan kepada polis. - Bernama
No comments:
Post a Comment