JOHOR BAHRU: Seorang pengetua sekolah agama dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di
sini hari ini, atas 14 pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapat suapan lebih RM1 juta bagi
syarikat milik isterinya.
Pengetua Sekolah Menengah
Agama (Arab) An-Nur, Bachok @ Abdul Samad Abdul Latip, 65, didakwa melakukan
kesalahan tersebut di pejabatnya di sekolah itu di Jalan Jaafar, Benut, Pontian
dari Julai 2011 hingga Julai 2012. Dia didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana menggunakan kedudukan
sebagai penjawat awam untuk apa-apa suapan, sama ada bagi dirinya sendiri,
saudaranya atau sekutunya.
Tertuduh boleh dihukum di
bawah Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun
dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau yang
mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Mengikut pertuduhan, dia
didakwa mengarahkan kakitangan dan guru sekolah berkenaan untuk mengeluarkan 14
baucar dan 14 cek Maybank Islamic yang berbeza nilai sepanjang tempoh
berkenaan.
Tertuduh telah
menandatangani baucar dan cek itu untuk membuat bayaran kerja membekal makanan
bermasak di asrama sekolah tersebut kepada Zainab Enterprise yang merupakan
syarikat milik isterinya, dengan nilai keseluruhan RM1,120,462.40.
Bachok yang faham dengan
setiap pertuduhan meminta dibicarakan.
Hakim Mohd Nasir Nordin
membenarkan tertuduh diikat jamin RM70,000 dengan seorang penjamin selain
mengarahkan pasport tertuduh diserah kepada mahkamah.
Beliau menetapkan 20
November ini untuk sebutan kes.
Pendakwaan dilakukan
Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Abdul Ghafar Ab Latif, manakala tertuduh diwakili
peguam Bustaman RK Menon. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment