MIRI: Sebanyak RM2.4 juta diperuntukkan oleh kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri untuk pembangunan pembelajaran Bahasa Iban di negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang memberitahu, peruntukan terbabit bukan sahaja bertujuan untuk memartabatkan Bahasa Iban, malah memelihara budaya masyarakat terbabit.
“Menerusi peruntukan tersebut, ia akan membantu untuk mencetak lebih banyak bahan cetakan Bahasa Iban.
“Bahan cetakan terbabit akan memudahkan para pengajar termasuk guru dan pensyarah, pelajar dan masyarakat setempat untuk belajar Bahasa Iban serta mendalami budaya masyarakat itu,” jelasnya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penutupan Ngerami Pemujur Kursus Dalam Perkhidmatan Enam Minggu Bahasa Iban 2012 anjuran Bahagian Pendidikan Guru dengan kerjasama Institut Pendidikan Guru dan Jabatan Pelajaran Negeri Sara-wak yang dikelolakan oleh Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Sarawak di sini, malam kelmarin.
Jabu yang juga Menteri Pemba-ngunan Luar Bandar berkata, peruntukan itu diyakini akan meningkatkan minat terhadap pembelajaran Bahasa Iban di Sarawak.
“Ini merupakan kemudahan pembelajaran yang akan memberi manfaat kepada pelajar sebagai bahan rujukan selaras dengan hasrat kita untuk meningkatkan pengetahuan Bahasa Iban,” katanya.
Justeru, katanya, melalui pembelajaran tersebut, ia bukan sahaja membantu generasi muda masyarakat Iban, malah dijadikan landasan masyarakat lain untuk mempelajari dan memahami bahasa, budaya serta sejarah Iban.
- Utusan Borneo
No comments:
Post a Comment