Powered by Blogger.

Wednesday, December 26, 2012

Jangan Terburu-Buru Pilih Tempat Pengajian

  NR       Wednesday, December 26, 2012

BANGI: Pemilihan tempat pengajian terutama di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) tidak perlu dibuat secara terburu-terburu, sebaliknya ia memerlukan pertimbangan yang sewajarnya, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata dengan lebih 500 IPTS yang berdaftar dengan kementerian merangkumi universiti swasta, kolej universiti, kampus cawangan universiti luar negara dan kolej yang masih aktif, ia memberi ruang kepada bakal pelajar membuat pilihan terbaik.

“Mereka tidak perlu terburu-buru membuat pilihan. Mereka perlu melihat institusi itu. Hari ini dengan jumlah yang begitu banyak ia sepatutnya memberi ruang yang lebih untuk memilih,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan nama baharu Granada International College kepada International Open College (IOC) serta pelancaran produk aplikasi Meteor Live di Universiti Tebuka Malaysia (OUM) di sini semalam.

Mohamed Khaled berkata pada masa sama, pemantauan terhadap IPTS akan diteruskan dari semasa ke semasa untuk memastikan kualiti pengajaran dan pembelajaran yang ditawar terus terpelihara.

Mengenai penubuhan IOC, beliau berkata kehadiran kolej itu amat dialu-alukan sebagai satu lagi pilihan kepada yang tidak berpeluang melanjutkan pengajian di IPTA.

Beliau berkata kolej itu yang ditubuhkan di bawah OUM adalah khusus untuk pelajar lepasan sekolah dan menawarkan yuran berpatutan, persekitaran kondusif serta tenaga pengajar yang berkelayakan.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata aplikasi Meteor Live iaitu aplikasi ICT untuk proses pembelajaran dan pengajaran di OUM dan IOC, sememangnya trend pembelajaran masa kini yang lebih mesra untuk pelajar.

Sehubungan itu beliau menyeru IPT lain supaya menggunakan kaedah yang sama bagi menyokong usaha menjadikan Malaysia sebagai negara digital.

“Mungkin selama ini mereka tidak ada kaedah untuk dilihat atau nak dijadikan contoh. Dengan apa yang dibuat OUM, mereka boleh melihat sistem ini. Terpulang kepada mereka untuk meletakkan kandungan yang menepati program yang ditawarkan di IPT masing-masing,” katanya.

Pegawai Eksekutif Kumpulan METEOR yang juga Presiden dan Naib Canselor OUM Prof Emiritus Tan Sri Anuwar Ali dalam ucapannya berkata kewujudan IOC adalah pelengkap kepada usaha OUM dalam memartabatkan sektor pengajian tinggi negara.

Pengerusi Lembaga Pengarah IOC Profesor Dr Ishak Tambi Kechik pula berkata berbanding kolej lain, IOC yang ditubuhkan sejak 2010 menjalankan kaedah pengajaran dan pembelajaran secara berhadapan dan dalam talian.

Beliau berkata pada peringkat permulaan, ia hanya menawarkan lima program peringkat diploma dan kini diberi peluang oleh OUM untuk menjalankan secara francais program-program ijazah perniagaan dan pengurusan OUM.

Antara program diploma yang ditawar IOC pada masa ini ialah Diploma Perakaunan, Diploma Pengurusan Sumber Manusia, Diploma Komunikasi Massa dan Diploma Pengurusan dengan syarat kemasukan hanya tiga kredit dalam Sijil Pelajaran Malaysia atau setaraf.— Bernama
logoblog

Thanks for reading Jangan Terburu-Buru Pilih Tempat Pengajian

Previous
« Prev Post

No comments: