SEREMBAN 22 Nov. - Program ijazah bakal dilaksanakan di 32 buah politeknik seluruh negara mulai tahun depan melalui kerjasama dengan universiti tempatan bagi melahirkan graduan profesional serta memenuhi kehendak pasaran kerja.
Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Politeknik, Mejar (K) Md. Nor Yusof berkata, lonjakan itu merupakan langkah strategik dalam meletakkan graduan politeknik ini lebih perkasa, selain meningkatkan imej lulusan diploma politeknik yang sedia ada.
"Tahun depan kita akan mulakan program berkembar dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM).
"Maka bagi tujuan itu, jabatan ini akan terlebih dahulu memberikan pendedahan kepada pegawai kita dalam melaksanakan program ijazah di politeknik," katanya selepas melancarkan buku Transformasi Modal Insan Pegawai Pendidikan Pengajian Tinggi (PPPT) di sini hari ini.
Terdapat kira-kira 14,000 PPPT di Jabatan Pengajian Tinggi, Jabatan Pengajian Politeknik dan Jabatan Pengajian Kolej Komuniti.
Tambahnya, di peringkat kolej komuniti pula, pihaknya akan melaksanakan satu program yang dikenali sebagai 'diploma pembelajaran berasaskan kerja' pada tahun depan dengan melibatkan 81 buah kolej komuniti di seluruh negara.
"Program diploma ini dibuat dengan kerjasama industri. Jadi kita akan mencari rakan industri. Pembelajaran pelajar ialah lebih di industri.
'"Sebaik sahaja pelajar tamat pengajian, peluang mereka untuk diserap terus dalam bidang pekerjaan sangat tinggi.
"Buat masa ini industri minyak dan gas di Miri, Sarawak telah dikenal pasti untuk berkolaborasi dengan kita," katanya.
Beliau memberitahu, permintaan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mengikuti pengajian di politeknik dan kolej komuniti memang tinggi dan tahun ini lebih 100,000 yang memohon, namun tempatnya terhad.
- Utusan, 23.11
No comments:
Post a Comment