Powered by Blogger.

Thursday, December 27, 2012

"Pengawai PPD" Perdaya Ibu Tunggal

  NR       Thursday, December 27, 2012
Mohd Zakir menunjukkan laporan dibuat di Balai Polis Kuala Selangor, 19 Disember lalu.
KUALA SELANGOR - Tanpa berfikir panjang, seorang ibu tunggal enam anak menyerahkan RM200 dan Netbook 1Malaysia milik anaknya tanpa menyedari dia diperdaya lelaki menyamar pegawai Pejabat Pelajaran Daerah yang menawarkan pakej pembelian komputer dengan harga rendah.

Sekmah Shaik Mohamad, 52, berkata, dia tidak menyangka lelaki Melayu berpakaian kemas dan bertubuh gempal yang menggunakan surat dari PPD bagi membuat kaji selidik menawarkan komputer dalam kalangan ibu tunggal dan orang susah adalah seorang penipu.


“Lelaki itu datang sekitar jam 10 pagi, 14 Disember lalu dan terus memperkenalkan dirinya Ibrahim mewakili PPD Kuala Selangor yang sedang membuat kaji selidik bagi membantu ibu tunggal celik IT.


“Saya beritahu ibu tunggal hidup tidak sesenang mana kerana perlu menanggung segalanya namun katanya pakej ditawarkan amat berpatutan dan rendah kerana hanya perlu membayar RM50 ke RM75 sebulan,” katanya.


Sedar tertipu


MENURUTNYA yang bergantung hidup hasil jualan surat khabar dan majalah di Kondo Rakyat, Pantai Dalam, lelaki itu menunjukkan surat ditandatangan Penolong PPD Latihan, PPD Kuala Selangor, Mohd Zakir Masdar selain melihat ayat ‘Dilulus Yang Dipohon’ tertera PPDKS 02/05/002/ SEK REN 2012.


“Justeru itu, saya mempercayainya kerana sebelum itu pun, saya pernah bertanya adakah ini semua satu bentuk penipuan atau bagaimana, tetapi dia terus menjawab adalah berdosa baginya sebagai Muslim untuk menipu sesama Islam.


"Setelah yakin, saya kemudiannya memilih dua komputer riba untuk kegunaan anak lalu menyerahkan RM200 sebagai bayaran pendahuluan dan dimaklumkan komputer termasuk Netbook 1Malaysia itu akan diserahkan pada waktu tengah hari," katanya yang turut menerima bil tunai tertera nama sebuah syarikat beroperasi di Jalan Putra, Kuala Lumpur.
 
Bagaimanapun, Sekmah berkata, dia menghubungi lelaki terbabit pada tengah hari berkenaan tetapi panggilan tidak dijawab.

“Apabila saya kelihatan seperti orang bingung, seorang jiran menawarkan air dan sebaik meminumnya, barulah saya seakan sedar apa yang terjadi.


"Saya kemudian mengatakan kepada anak-anak, sah saya sudah ditipu,” katanya.


Difahamkan, siasatan ke atas nombor telefon 03-404482XX di TM Directory atas bil tunai, tertera nama syarikat tidak berdaftar dan nombor terbabit milik syarikat lain.


Menurutnya, penipuan itu perlu didedahkan bagi menggelakkan lebih ramai ibu tunggal menjadi mangsa tipu helah lelaki terbabit.


“Saya mahu ia jadi teladan kepada suri rumah lain yang mungkin akan diperangkap dengan modus operandi sama.


"Mungkin ada individu lain terkena dan saya nasihatkan jika didatangi lelaki mengakui wakil PPD yang menjual komputer riba pada harga rendah, itu semua penipuan.


PPD Kuala Selangor nafi edar borang komputer


SEMENTARA itu, Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kuala Selangor menafikan ada mengedarkan borang didakwa seperti digunakan lelaki itu bagi membuat kaji selidik menawarkan pembelian komputer.


Penolong PPD Pengurusan Sekolah Menengah, MT Saafien Kassim berkata, merujuk borang digunakan, itu sebenarnya borang pertukaran sekolah iaitu Jadual Ketiga (Sub Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pendidikan (Penerimaan Masuk Murid Ke
Sekolah, Penyimpanan Daftar dan Syarat Bagi Pengekalan Murid  Belajar di Sekolah) 1998.

“Namun ia diubah suai seolah-olah PPD Kuala Selangor memberi kebenaran kepada syarikat ini membuat kaji selidik dan menawarkan pembelian komputer pada harga rendah kepada ibu tunggal dan miskin.


“PPD Kuala Selangor tidak pernah mengeluarkan sebarang pembelian, kaji selidik atau sebarang perkara berkaitan dengan semua ini dan penyamar ini cuba mempengaruhi suri rumah yang kurang arif mengenai borang dikeluarkan," katanya.


Menurutnya, bidang kerja PPD Kuala Selangor tiada kaitan dengan pembelian atau tawaran atau pemberi kebenaran membeli komputer malah Unit ICT juga tidak akan menjalankan kaji selidik.


“Sebaliknya ia bawah bidang kuasa Kementerian Pelajaran dan PPD hanya memanjangkan arahan yang datang daripada kementerian.


“Siasatan ke atas pegawai yang dikaitkan itu menafikan ada menandatangani surat memberi kebenaran menjalankan kaji selidik ini,” katanya.


Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai berhati-hati supaya tidak terpedaya dan menjadi mangsa penipuan seperti mana dilakukan lelaki terbabit.


Terkejut nama digunakan menipu ibu tunggal


DALAM pada itu, Mohd Zakir Masdar berkata, dia begitu terkejut apabila namanya digunakan individu tidak bertanggungjawab untuk menipu masyarakat termasuk ibu tunggal.


Menurutnya, tidak tahu menahu mengenai perkara itu, malah beliau kini tidak lagi bertugas di Bahagian Latihan dan bertukar ke Unit Kualiti pada September lalu.


"Ketika memegang jawatan di unit latihan, bidang tugas kerja saya merangkumi latihan bagi pegawai, guru dan kakitangan sokongan selain diberi kebenaran hanya untuk menandatangani borang pertukaran sekolah.


"Ini kali pertama nama saya digunakan individu tidak bertanggungjawab yang bertindak meminda borang asal," katanya yang turut membuat laporan di Balai Polis Kuala Selangor 19 Disember lalu.


Beliau berharap orang ramai tidak terpedaya dengan penipuan seumpama itu.


Sinar Harian dimaklumkan mana-mana individu yang ingin memasuki sekolah perlu mendapat kelulusan dari Kementerian Pelajaran dan PPD tidak pernah mengeluarkan sebarang surat kebenaran.

- Sinar Harian  
logoblog

Thanks for reading "Pengawai PPD" Perdaya Ibu Tunggal

Previous
« Prev Post

No comments: