Pada minggu lepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika
lawatannya ke India mengumumkan bahawa Malaysia berminat hendak
mengambil guru-guru dari negara tersebut untuk mengajar Bahasa Inggeris
di sekolah-sekolah kebangsaan tanahair.
KEADILAN menyokong usaha-usaha untuk memperbaiki penguasaan Bahasa
Inggeris khususnya dan sistem pendidikan kita umumnya. Pun begitu,
Perdana Menteri hanya membuat pengumuman tersebut tanpa memberi alasan
yang kukuh bagaimana mengimport guru-guru Bahasa Inggeris dari India ke
Malaysia akan menambah sebarang nilai tambahan kepada sistem pendidikan
kita.
Lebih-lebih lagi, Kerajaan sewajarnya mengambil graduan-graduan TESL (Mengajar Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua) tempatan.
Pengarah Strategi KEADILAN Rafizi Ramli baru-baru ini telah
membangkitkan isu nasib graduan-graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan
(ISMP) khususnya dari IPTS yang tidak menerima tawaran pekerjaan di
sekolah-sekolah kebangsaan. Pada Mac 2012, Timbalan Menteri Pelajaran
Dato Puad Zarkashi mengesahkan bahawa 7000 graduan ISMP belum diberikan
tawaran kerja. Graduan ISMP daripada IPTS mendapati mereka tidak pun
dipanggil ke temuduga meskipun mempunyai keputusan yang baik.
Saya biasa dengan isu ini memandangkan ramai graduan ini datang
daripada UNITAR International University yang pernah berada di Kelana
Jaya dan kini di Sunway, di mana kedua-duanya di dalam kawasan DUN saya.
Malah, tahun lepas, graduan TESL yang ditaja Kementerian PeIajaran
sendiri mengadu tidak diberikan tawaran kerja walaupun selepas menunggu
selama enam bulan.
Graduan ISMP turut menghadapi cabaran mendapatkan kerja di luar
sekolah-sekolah kebangsaan. Sekolah-sekolah swasta mementingkan guru
luar negara ataupun yang berpengalaman. Majikan bukan sekolah pula
kurang berminat melantik graduan ISMP memandangkan mereka merasakan
kelulusan ISMP suatu pengkhususan yang menyukarkan mereka bekerja di
dalam bidang lain dan graduan-graduan ini akan meninggalkan majikan
tersebut apabila menerima tawaran daripada Kementerian Pelajaran. Ramai
di antara mereka akhirnya bekerja sebagai guru-guru tuisyen tanpa
kestabilan bekerja sebagai guru di sekolah-sekolah kebangsaan.
Tambahan pula, graduan-graduan ini dibebani hutang PTPTN yang lebih
besar daripada graduan-graduan IPTA memandangkan yuran pengajian mereka
lebih tinggi. Namun, sehingga hari ini IPTS-IPTS dibenarkan menawarkan
program ISMP, satu contoh lagi dasar pendidikan BN yang tidak masuk
akal.
Pastinya ini akan menyumbang lagi kepada bilangan graduan ISMP yang
menganggur. Sedangkan IPTS-IPTS ini akan membuat keuntungan yang besar
manakala graduan-graduan mereka akan terus merana.
Justeru, mengimport guru-guru daripada India hanya akan mengeruhkan lagi keadaan daripada yang ada pada hari ini.
Kerajaan mestilah menimbangkan mengambil lebih ramai graduan ISMP
yang berkebolehan untuk menambah bilangan guru-guru di sekolah-sekolah
kebangsaan, lantas menurunkan nisbah pelajar-guru. Sekurang-kurangnya,
kerajaan hendaklah tidak mendiskriminasi antara graduan ISMP IPTA dan
IPTS dan membenarkan perlaksanaan sistem terbuka yang mana calon-calon
berkebolehan tanpa mengira institusi diambil sebagai guru.
Nik Nazmi Nik Ahmad
Pengarah Komunikasi KEADILAN
Pengarah Komunikasi KEADILAN
Sumber: Keadilan
No comments:
Post a Comment