KUALA LUMPUR 15 Dis. - Bermula tahun depan,
universiti swasta, kolej universiti dan kampus cawangan universiti luar
negara perlu membayar RM100,000 manakala kolej swasta RM10,000 sebagai
yuran perlindungan penuntut.
Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata,
yuran itu adalah jaminan perlindungan penuntut sekiranya institusi
pengajian tinggi swasta (IPTS) berhadapan risiko ditutup dan menjejaskan
penuntut menamatkan pengajian mereka.
"Oleh itu, penuntut-penuntut ini memerlukan satu bentuk perlindungan
terhadap keadaan itu. Kami memutuskan untuk mengumpul sejumlah wang
sebagai yuran perlindungan dari IPTS dalam bentuk bon jaminan, insurans
dan deposit," katanya ketika melancarkan Pameran Pendidikan Star 2012 di
sini hari ini.
Beliau berkata, IPTS diharap dapat membayar jumlah yang ditetapkan
untuk memastikan penuntut terlibat akan mendapat bayaran balik jika
institusi berkenaan ditutup secara tiba-tiba bagi membolehkan mereka
meneruskan pengajian di tempat lain sekali gus melindungi penuntut
daripada institusi yang tidak bertanggungjawab.
"Semua institusi pengajian tinggi swasta perlu membayar yuran
perlindungan setiap lima tahun, setiap kali mereka mahu memperbaharui
lesen. Maklumat terperinci mengenai pelaksanaan itu akan diumum
kemudian," katanya.
Mohamed Khaled berkata, tahun ini, sebanyak 33 IPTS dalam pertimbangan untuk ditutup atas pelbagai sebab.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata Pengajian Komunikasi Bahasa
Melayu dan Malaysia akan menjadi mata pelajaran wajib untuk penuntut
antarabangsa di institusi pengajian tinggi awam dan swasta.
Beliau berkata, mata pelajaran itu akan membolehkan penuntut
antarabangsa berinteraksi dengan penduduk tempatan dan pihak berkuasa
serta mereka boleh belajar budaya Malaysia dan bagaimana negara ini
membangun.
Sementara itu, beliau berkata, IPTS digalak untuk menawarkan lebih
banyak program lepasan ijazah untuk membangunkan bakat intelektual
pringkat tinggi bagi merangsang pertumbuhan penyelidikan dan inovasi di
negara ini.
"Jumlah penuntut graduan di institusi pengajian tinggi swasta masih kecil.
Berdasarkan statistik tahun ini, terdapat hanya 203 dan 2,841
penuntut graduan masing-masing untuk program PhD (Doktor Falsafah) dan
Sarjana.
"Sebaliknya, institusi pengajian tinggi awam mempunyai jumlah yang
lebih besar iaitu masing-masing 2,169 dan 14,813 untuk Sarjana dan PhD,"
katanya.
Pameran pendidikan dua hari di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur mulai
hari ini mempamerkan pelbagai pilihan dan peluang pendidikan dalam dan
luar negara.
— BERNAMA, 25/12/12
No comments:
Post a Comment