KUCHING: Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan
bahawa kebajikan sekolah-sekolah mubaligh di negeri ini tidak akan
diabaikan dan dikekalkan dalam sistem pendidikan nasional.
Bercakap
kepada pemberita pada sidang media di sini semalam, Muhyiddin yang juga
Timbalan Perdana Menteri berkata berlaku salah faham di mana sekolah
mubaligh dikatakan tidak disentuh dalam pelan pembangunan pendidikan
negara.
Hakikatnya, menurut Muhyiddin, soal sekolah mubaligh bukan
tidak disentuh dalam pelan tersebut tetapi sekolah-sekolah ini telah
menjadi sebahagian daripada sistem pendidikan nasional sejak dahulu
hingga kini.
“Sekolah mubaligh yang selama ini bersama kerajaan
diserahkan kepada Kementerian Pelajaran dan diuruskan oleh Kementerian
Pelajaran termasuk soal penempatan guru, bayaran gaji serta
bantuan-bantuan lain.
“Bentuk kokurikulum yang digunakan juga
adalah standard kebangsaan dengan peperiksaan awam seperti PMR, SPM,
STPM termasuk matrikulasi.
“Jadi atas dasar itu, sekolah mubaligh
masih kekal dalam sistem pendidikan nasional dan telah disebut pada
pertemuan baru-baru ini bersama Tan Sri Bernard Dompok mewakili
persatuan-persatuan sekolah mubaligh di seluruh negara,” katanya.
Menyentuh
mengenai soal membawa balik penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa
pengantar di sekolah mubaligh, Muhyiddin berkata tidak ada cadangan
seperti itu dalam perakuan kementerian.
Tetapi katanya, yang menjadi minat ibu bapa ialah bagaimana untuk meningkatkan kualiti bahasa Inggeris di kalangan pelajar.
“Kalau
itu soal pokoknya, sistem yang boleh kita buat dalam pem-belajaran
bahasa Inggeris adalah menambah baik standard bahasa itu sendiri di
semua sekolah di seluruh negara termasuk sekolah mubaligh,” jelasnya
kepada pemberita.
Terdahulu sebelum sidang media, Muhyiddin
menghadiri majlis perjumpaan bersama ribuan penjawat awam di negeri ini
di salah sebuah hotel terkemuka di sini.
Majlis yang menjadi acara
wajib kepada pemimpin nombor dua negara itu penting untuk mewujudkan
gandingan kerjasama antara pemimpin-pemimpin negara dan kakitangan awam
yang berperanan penting dalam memacu pemba-ngunan negara.
Muhyiddin
dalam ucapannya turut memuji kerjasama dan sumbangan yang diberikan
oleh pen-jawat-penjawat ke arah negara yang cemerlang.
Turut hadir
pada majlis itu Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan
Timbalannya Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Setiausaha
Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Morshidi Abdul Ghani serta
menteri-menteri kabinet yang lain.
- UB
No comments:
Post a Comment