Powered by Blogger.

Friday, January 11, 2013

KPM Akan Tambah Baik Sekolah Yang Berisiko banjir

  NR       Friday, January 11, 2013

KANGAR - Kementerian Pelajaran akan memastikan projek pembangunan sekolah di kawasan berisiko banjir turut mengambil kira aspek tambahan termasuk meningkatkan ketinggian lantai bangunan sekolah, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong.

Selain itu, pihaknya juga mengkaji kemungkinan membina bangunan sekolah yang lebih tinggi di kawasan berisiko seperti membina blok setinggi tiga tingkat, katanya.


Bercakap kepada pemberita di sini hari ini selepas melawat projek pembangunan sekolah di negeri ini, beliau berkata kerajaan tidak akan meminggirkan pembangunan sekolah di kawasan berisiko banjir kerana ia merupakan satu keperluan.


"Kita mungkin bina tapak bangunan yang lebih tinggi walaupun ia tidak memberi jaminan bebas daripada ancaman banjir," katanya.


Beliau berkata pihaknya juga sedang meneliti sekolah yang memerlukan sistem pendawaian dikemas kini demi keselamatan sekolah dan pelajar.


Mengenai lawatannya, Wee berkata ia bertujuan meninjau pelaksanaan projek tambahan dan pembaikan enam buah sekolah bantuan kerajaan yang membabitkan peruntukan RM1 juta.


"Setakat ini saya amat berpuas hati dengan pelaksanaan pembangunan enam sekolah berkenaan termasuk dua projek yang hampir siap," katanya.


Mengenai perhimpunan pembangkang di ibu negara esok, beliau yang juga Ketua Pemuda MCA berharap para pelajar tidak dieksploitasi untuk tujuan politik pembangkang.


Katanya ibu bapa perlu memastikan anak mereka memberi tumpuan kepada pelajaran dan tidak menyertai sebarang kegiatan yang merugikan mereka. - Bernama
logoblog

Thanks for reading KPM Akan Tambah Baik Sekolah Yang Berisiko banjir

Previous
« Prev Post

No comments: