SARATOK: Latihan yang disediakan di setiap Pusat GIATMARA merupakan peluang terbaik untuk dimanfaatkan golongan belia dan remaja bagi mengasah kemahiran mereka dalam bidang teknikal.
Bagi belia yang kurang cemerlang dalam bidang akademiknya, peluang yang disediakan oleh pihak GIATMARA itu amat baik untuk diceburi khususnya yang berminat dengan kerja-kerja teknikal.
Menteri Muda Kemajuan Tanah Datuk Abdul Wahab Aziz berkata peluang pekerjaan bagi golongan yang telah mendapatkan pendidikan teknikal di pusat itu amat cerah.
“Jika kita lihat pada hari ini, peluang pekerjaan yang wujud melalui perancangan kerajaan dalam projek Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) adalah lebih terbuka kepada golongan yang mempunyai kemahiran dalam bidang teknikal.
“Bagi masyarakat di luar bandar, kita berharap mereka mampu memanfaatkan peluang yang telah disediakan oleh Pusat GIATMARA untuk mengasah bakat mereka dalam bidang teknikal yang mereka minati,” katanya pada Majlis Graduasi dan Penyampaian ‘Tool Kit’ PLKK GIATMARA Saratok di Dewan Masyarakat Sri Krian, kelmarin.
Katanya Pusat GIATMARA menyediakan dan memberi latihan kemahiran kepada masyarakat bandar dan luar bandar dalam bidang yang bersesuaian dengan keperluan tempatan dan usaha ini diharap dapat meningkatkan taraf hidup individu melalui peluang usaha niaga dan pekerjaan.
Beliau menambah, penubuhan Pusat GIATMARA adalah bertujuan menggalakkan Bumiputera mempertingkatkan kemahiran teknikal mereka dan menjadi usahawan yang berdaya saing di pasaran terbuka.
“Pada perancangan kita dalam mempergiat institusi kemahiran di kawasan ini, sebuah bangunan baharu Pusat GIATMARA Saratok sedang dirancang dibina.
“Bangunan terbabit akan dibina di satu tempat yang berkeluasan lima hektar iaitu bersebelahan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saratok.
“Usaha tersebut kini sedang dalam perbincangan dan akan dikemukakan pada kabinet dan menteri persekutuan,” jelas Abdul Wahab.
Pada majlis sama, Pengurus Besar GIATMARA Negeri Sarawak Rakawi Nawi berkata, seramai 15 belia di kawasan ini berdaftar dengan program e-Kasih telah terpilih menyertai Program Latihan Kemahiran Dan Kerjaya (PLKK).
“Bagi mempergiat program terbabit sejumlah RM16,500 diperuntukkan.
“Menerusi program ini, para pelatih GIATMARA akan dibekalkan dengan alat atau ‘tool kit’ yang bernilai RM3,410 dan elaun latihan khas tambahan berjumlah RM1,100 seorang yang tidak termasuk elaun RM200 setelah tamat latihan selama enam bulan di GIATMARA.
“Apabila tamat kursus, mereka akan diberi pelbagai peralatan mengikut bidang masing-masing berjumlah RM3,410 seorang bertujuan memastikan mereka dapat meneruskan kemahiran yang dipelajari dan seterusnya menambah pendapatan keluarga,” katanya.
Dalam pada itu, Pengurus GIATMARA Saratok Abadi Hussein memberitahu, pada tahun lalu pihaknya dipertanggungjawab untuk membaik pulih sebanyak 102 rumah di bawah Program Bantuan Rumah (PBR) bagi seluruh daerah Saratok.
“GIATMARA Saratok juga telah memberi bantuan kepada bakal usahawan di mana seorang pelatih inkubator diberi perbelanjaan berjumlah RM6,500 iaitu RM1,500 adalah kos untuk menghadiri kursus usahawan, RM4,000 untuk membeli peralatan dan modal wang tunai sebanyak RM1,000 bagi tujuan modal permulaan,” katanya.
“Kesemua bantuan tersebut adalah untuk memastikan golongan belia merebut peluang pekerjaan dan sebagai asas bagi mereka menceburi bidang perniagaan,” kata Abadi.
Pada majlis terbabit, seramai 51 Graduan GIATMARA Saratok telah lulus dan dianugerahkan Sijil Profesion GIATMARA.
Seorang pelatih GIATMARA Saratok juga turut dianugerahkan cemerlang keseluruhan iaitu pelatih bagi Teknologi Bangunan Kayong Andong.
Pada majlis sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka itu turut menyumbang sejumlah RM10,000 kepada Pusat GIATMARA Saratok.
- UB
No comments:
Post a Comment