LAHAD DATU – Tindakan seorang murid berusia lapan tahun berteduh
daripada panas terik di bawah lori seberat 10 tan sementara menunggu
ketibaan bas sekolahnya berakhir tragedi apabila badannya hancur digilis
tayar kenderaan berat itu selepas pemandunya dikatakan tidak menyedari
kehadiran kanak-kanak berkenaan.
Dalam kejadian jam 11 pagi di Jalan Kastam Baru di sini
semalam, mangsa Syarif Junior Langbas Jul Husin ditemui dengan masih
berpakaian seragam dan menggalas beg dengan hampir seluruh badannya
hancur digelek tayar kenderaan itu.
Pemandu yang menyedari menggilis sesuatu kemudian melakukan
pemeriksaan sebelum terkejut apabila mendapati badan murid Sekolah
Kebangsaan Pekan III itu hancur sebelum melarikan diri.
Difahamkan, mangsa dikatakan menunggu bas untuk ke sekolah dan berteduh di bawah lori berkenaan.
Pemandu lori berkenaan dipercayai cuba mengundurkan kenderaan itu untuk membantu seorang lagi rakannya membaiki kenderaan.
Akibat tragedi itu, mangsa mati di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu Superintendan Samsudin Mat ketika
dihubingi mengesahkan kejadian itu dan berkata, siasatan lanjut
dijalankan.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk dibedah siasat
dan polis masih memburu pemandu lori yang dipercayai melarikan diri
sebaik menyedari kejadian itu.
“Polis giat memburu suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 41, Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu, Mohd
Apandi Mahmood berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 11.10
pagi sebelum mengarahkan sebuah jentera bersama enam anggota ke tempat
kejadian.
“Sebaik tiba, kami mendapati mangsa berada di bawah tayar lori dalam
keadaan badan dan otak bersepai. “Mayat mangsa yang masih menggalas beg
dan berpakaian sekolah dikeluarkan selepas mengalihkan tayar lori itu,”
katanya.- Harian Metro
No comments:
Post a Comment