Powered by Blogger.

Friday, February 01, 2013

Kerajaan Negeri Terengganu Berhasrat Tambah Pembantu Guru BI (ETA)

  NR       Friday, February 01, 2013
KUALA TERENGGANU 30 Jan. - Kerajaan negeri berhasrat meningkatkan bilangan Pembantu Guru Bahasa Inggeris (ETA) yang ditempatkan di negeri ini lebih sekali ganda tahun depan dengan membiayai sendiri kos bagi pertambahan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Datuk Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, kerajaan negeri masih memberi penekanan terhadap aspek penguasaan bahasa Inggeris yang masih menjejaskan pencapaian pelajar anak negeri untuk mencapai kecemerlangan.

Menurut beliau, melalui seliaan Kementerian Pelajaran, kerajaan negeri akan menerima seramai 18 ETA dari Amerika Syarikat (AS) tahun ini daripada jumlah keseluruhan sebanyak 50 orang yang bakal ditempatkan di sekolah-sekolah terpilih di seluruh negara.

"Bilangan tersebut tidak mencukupi untuk menampung keperluan di negeri ini dan pertambahan perlu bagi memastikan pelajar mendapat pendidikan terbaik. Kerajaan negeri mempunyai peruntukan membiayai sekurang-kurangnya 20 ETA setiap tahun.

"Sehubungan itu, satu rombongan pegawai Jabatan Pelajaran negeri akan dihantar ke Australia dan beberapa negara lain untuk mencari guru Bahasa Inggeris terlatih dalam waktu terdekat bagi menjayakan program ini tahun depan," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Program Komunikasi Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan Negeri dan Pelancaran Program Bahasa Terengganu FM, di sini petang semalam.

Yang turut hadir Pengarah Penyiaran Kawasan Timur, Azizah Mohd. Yusof dan Pengarah Unit Komunikasi negeri, Shamsuddin Sulong.

Ahmad Razif berkata, ETA tahun ini merupakan penempatan tahun ketujuh dan mereka dijangka tiba esok sebelum diserahkan kepada pihak sekolah.

Menurut beliau, untuk program kali ini pihaknya akan menumpukan sekolah-sekolah yang dikategorikan sebagai sekolah premier, sekolah elit dan Imtiaz.

"Program ETA sebenarnya bukan asing bagi kita kerana dilaksanakan di sini sejak 2006 lagi.
"Bezanya tahun ini ia tidak lagi diletakkan di bawah seliaan kerajaan negeri sebaliknya diambil alih Kementerian Pelajaran," ujarnya.

ETA adalah program jaringan yang diwujudkan bagi mempromosikan pertukaran pendidikan antara Malaysia dan AS. 

Menurut Ahmad Razif, berdasarkan pengalaman Terengganu 100 peratus format dan modul yang pernah digunakan akan terus dikekalkan.

- Utusan
logoblog

Thanks for reading Kerajaan Negeri Terengganu Berhasrat Tambah Pembantu Guru BI (ETA)

Previous
« Prev Post

No comments: