MARANG - Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Bukit Besi di Dungun
yang akan dibuka dan memulakan pengajian Jun ini akan memperkenalkan
satu bidang pengajian baru iaitu Diploma Kejuruteraan Perkapalan
memandangkan Terengganu mempunyai kekuatan dalam bidang berkenaan sejak
sekian lama.
Rektor UiTM Kampus Dungun, Prof Madya Tengku Yusof Tengku Mahmud
berkata, Diploma Kejuruteraan Perkapalan itu adalah pengajian baru
diperkenalkan UiTM pada tahun ini disebabkan kepakaran negeri itu
sendiri dalam pembinaan kapal dan bot untuk tujuan pengkomersialan.
"Kita akan mendapatkan kerjasama pakar-pakar pembuat kapal dan bot di
negeri ini khususnya di Pulau Duyong, Kuala Terengganu bagi mendapatkan
pendedahan kepada UiTM kerana Terengganu sentiasa ke hadapan dalam
teknologi pembinaan kapal di negara ini.
"Dengan program baru itu, diharap kita akan mendapat tunjuk ajar
teknologi yang digunakan oleh pembuat-pembuat kapal dan bot negeri itu
dengan baik.
Kita akan mampu buat pelbagai kapal pengangkutan, pelancongan atau
kapal kerja-kerja cari gali dan sebagainya dengan kepakaran anak
tempatan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani
perjanjian kerjasama persefahaman dalam bidang pelancongan antara Pusat
Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (TESDEC) dengan UiTM Kampus
Dungun di sini, semalam.
Tengku Yusof berkata, selain Diploma Kejuruteraan Perkapalan, UiTM
Kampus Bukit Besi yang akan dibuka itu juga akan menempatkan pengajian
Diploma Kejuruteraan Kimia dan akan mengambil pelajar bagi fasa pertama
seramai 1,500 orang.
"Diploma Kejuruteraan Kimia yang sedia ada di Kampus UiTM Dungun akan
dipindahkan ke Kampus UiTM Bukit Besi manakala kekosongan di bangunan
kampus Dungun akan dimasukkan program lain atau ditambah pelajar dengan
program sedia ada," katanya.
UiTM Kampus Bukit Besi mula dibangunkan pada 2010 di atas tapak seluas 120 hektar melibatkan perbelanjaan RM110 juta.
"Bagi fasa pertama ini, Kampus UiTM Bukit Besi itu kita baru bangunkan
30 peratus dan fasa berikutnya akan berterusan dibangunkan sehingga
2015.
"Buat permulaan, UiTM Kampus Bukit Besi hanya mengadakan pengajian
peringkat diploma sahaja tetapi menjelang 2015 kita turut mengadakan
pengajian Ijazah dengan penempatan pelajar sehingga 5,000 orang,"
katanya.- Bernama
No comments:
Post a Comment