Kejadian rogol berkumpulan membabitkan seorang pelajar perubatan
wanita sehingga mengakibatkan mangsa meninggal dunia, mencetuskan
bantahan besar-besaran di New Delhi, sebuah bandar raya yang hampir
setiap hari menyaksikan kes rogol berlaku.
Jika sebelum ini banyak kes sama hanya didiamkan tanpa sebarang
tindakan undang-undang, kejadian terbaharu itu mengubah pendirian rakyat
India yang mahu supaya hak wanita diberi perhatian sewajarnya.
Keterbukaan Badri Singh Pandey, bapa kepada mangsa rogol yang
mendedahkan nama anaknya kepada umum juga, mampu menjadi titik tolak
kepada kebangkitan menentang jenayah seks terhadap wanita di India.
Dia bukan orang berpengaruh, namun dengan berani mahu menongkah arus
di negara yang mana bukan sahaja undang-undangnya menindas mereka yang
menjadi mangsa, malah budaya sosial masyarakatnya seakan 'membenarkan'
isu itu berleluasa.
"Saya mahu seluruh dunia tahu, anak perempuan saya bernama Jyoti," katanya kepada sebuah akhbar Britain.
Bapa itu berbuat sedemikian supaya wanita lain berani melakukan
tindakan yang sama, mengambil iktibar dan semangatnya bagi menghentikan
keganasan terhadap wanita.
Sebelum ini, undang-undang di India tidak membenarkan nama mangsa
jenayah seks didedahkan untuk melindungi mangsa, juga kerana pandangan
negatif terhadap mangsa dan keluarga sangat teruk di India.
Keadaan itu seolah-olah mengatakan bahawa 'menjadi mangsa' itu sesuatu yang sangat berdosa dan memalukan.
Menurut perangkaan, jenayah rogol berlaku setiap 21 minit di India,
bermakna setiap sehari, sekurang-kurangnya 50 kes rogol berlaku.
Kebanyakan daripada kes tersebut tidak didedahkan, malah tidak
dilaporkan kepada pihak berkuasa, dengan menganggap perkara itu sangat
memalukan.
Hanya sesekali, apabila berlaku insiden seperti yang dialami Jyoti,
barulah beberapa pihak akan bersuara dan mendesak hukuman setimpal
dijatuhkan terhadap pelaku.
Namun, undang-undang India sering tidak menyebelahi mangsa, pelaku
dikenakan hukuman tidak setimpal dengan kesalahan dilakukan, kes
tertangguh untuk sekian lama dan akhirnya pesalah dibebaskan.
Pada 1973, seorang jururawat, Aruna Shanbaug, hampir maut selepas
diserang dan diliwat oleh seorang pencuci di hospital tempat dia
bertugas.
Dia diserang menggunakan rantai besi dan hampir menemui ajal, namun
kecederaan yang teruk menyebabkan dia mengalami mati otak dan terlantar
di atas katil hospital selama 39 tahun.
Perogolnya hanya dipenjara tujuh tahun atas kesalahan merompak dan
cubaan membunuh, namun langsung tidak disabit atas kesalahan rogol
kerana tiada bukti kukuh.
Berbeza dengan kes Jyoti, bantahan di seluruh India dan desakan
pindaan undang-undang yang disuarakan ramai pihak, dilihat mempunyai
sedikit harapan untuk perubahan, termasuk mendapat sokongan beberapa
Ahli Parlimen tempatan.
Hukuman yang setimpal patut dikenakan terhadap penjenayah, namun
perkara utama yang mampu memberi perubahan besar kepada isu serangan
seks ke atas wanita di India patut dimulakan dari peringkat institusi
kekeluargaan itu sendiri.
Mengikut sistem tradisional India, anak lelaki dibesarkan menjadi
seorang yang tegas, bersifat pendesak, kurang toleransi dan tidak
bergantung, menyebabkan mereka dominan dalam banyak perkara, sebaliknya
anak perempuan dari kecil diajar agar patuh, berkorban, toleransi dan
menerima segalanya.
Keadaan itu menjadi budaya sosial dalam masyarakat India, menyebabkan
anak perempuan tidak berani untuk membuka mulut menceritakan apa yang
berlaku terhadap mereka, malah ibu bapa juga tidak mendorong mereka
berbuat demikian.
Dalam keadaan dunia hari ini, wanita di India khususnya tiada
pilihan, kerana mereka juga perlu bekerja atau belajar. Persekitaran
yang selamat perlu bagi mereka supaya kaum wanita tidak lagi terdedah
kepada serangan seksual.
No comments:
Post a Comment