CYBERJAYA 31 Jan. - Kementerian Pengajian Tinggi
(KPT) akan menyemak kelestarian sembilan buah institusi pengajian tinggi
swasta (IPTS) yang bermasalah bermula Februari ini.
IPTS terbabit ialah Universiti Selangor (Unisel); Kolej Universiti
Insaniah (KUIN); Malaysian University of Science and Technology (MUST);
Asian Institute of Medicine, Science & Technology (AIMST)
University; Twintech University College of Technology; Kolej Universiti
Islam Selangor; Linton University College; Kuala Lumpur Metropolitan
University College; dan Lincoln University College.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, semakan
menerusi inisiatif yang baharu diperkenalkan itu bertujuan mengesan
perjalanan sesebuah IPTS seperti tadbir urus dan perkhidmatan yang
ditawarkan.
''Kita pilih secara rambang lebih-lebih lagi kalau sesebuah
universiti itu sentiasa mendapat liputan dan dalam perhatian pihak
masyarakat berasaskan kepada kelemahan atau aduan diterima.
''Terdapat hampir 70 buah universiti dan kolej universiti swasta di
negara kita dan mereka ini pemain yang akan menentukan kita berjaya
untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi di peringkat
global dan rantau ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan
University Malaysia of Computer Science and Engineering (UniMy) di sini
hari ini.
Hadir sama Ketua Setiausaha KPT, Datuk Ab. Rahim Md. Noor; Ketua
Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Rujhan Mustafa; Canselor
UniMy, Prof. Datuk Dr. Halimaton Hamdan; Dekan Sekolah Kejuruteraan
Universiti Melbourne, Prof. Iven Mareels dan Pengerusi Prestariang
Berhad, Datuk Ramli Abbas dam.
Mohammed Khaled menegaskan, kerajaan mengambil berat soal
perkhidmatan dan kualiti penawaran program pengajian termasuk
infrastruktur yang disediakan.
''Kajian semakan ini akan dilakukan oleh wakil-wakil dari IPT awam dan IPTS terpilih bermula pertengahan Februari," katanya.
Terdahulu dalam ucapan perasmiannya beliau berkata, UniMy ditubuhkan
sejajar dengan keperluan negara untuk melahirkan modal insan yang dapat
membangunkan aplikasi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT)
memandangkan kebanyakan graduan ICT tidak memenuhi kehendak pasaran.
Menurutnya, sesebuah negara yang mahu membangunkan ekonomi berasaskan
inovasi perlu melahirkan modal insan yang berkelayakan untuk
membangunkan program perisian dan bukannya sebagai pengguna ICT
semata-mata.
''Jawatankuasa Kabinet Modal Insan setuju bahawa di negara kita perlu
ada universiti yang bertanggungjawab melahirkan pelajar sedemikian jadi
kita benarkan universiti swasta mengambil tanggungjawab ini dan
mendapat sambutan," katanya.
Sementara itu, Dr. Halimaton berkata, universiti butik itu
menyediakan pengajian peringkat asas (setahun), sarjana muda (tiga
tahun) dan sarjana (setahun) dan setiap pelajar terutamanya lepasan
Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) digalakkan meneruskan pengajian sehingga
ke peringkat sarjana.
''Kumpulan pertama akan memulakan pengajian pada Mei depan dengan 300
pelajar peringkat asas, 300 peringkat ijazah dan pelajar ijazah
lanjutan, menjelang 2016 kita optimis dapat lahirkan 3,000 graduan.
''Kita percaya minat pelajar akan dapat ditingkatkan dan kewujudan
UniMy ini dapat memenuhi keperluan melahirkan 10,000 modal insan
menjelang 2020 untuk membangunkan program perisian dalam negara,"
katanya.
No comments:
Post a Comment