GOMBAK – Disebabkan panik apabila seekor katak tiba-tiba melompat keluar di bahagian dalam kereta dipandunya, seorang guru maut manakala dua lagi anaknya cedera parah apabila kenderaan itu terbabas melanggar pokok, petang kelmarin.
Difahamkan, guru berkenaan dan anaknya dalam perjalanan pulang ke rumah selepas tamat sesi persekolahan.
Sinar Harian dimaklumkan, pagi hari kejadian, salah seorang anaknya
memberitahu kasut sekolahnya dimasuki seekor katak yang kemudian hilang
di dalam kereta itu.
Jurucakap polis berkata, mangsa yang berkhidmat di Sekolah Jenis
Kebangsaan Cina (SJKC) Chap Kuan Batu Arang kemudian meminta beberapa
anak muridnya membantu mencari katak itu setibanya di sekolah.
Bagaimanapun, haiwan itu gagal ditemui sebelum ia dikatakan tiba-tiba
muncul dalam perjalanan pulang guru itu bersama dua anaknya ke rumah.
Menurut sumber itu, kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 petang di Jalan Kota Puteri berdepan dengan kolam pancing Batu Arang.
Mangsa, Moey Yin,36, yang panik dipercayai tertekan minyak kereta jenis Proton Ezora dipandu sebelum melanggar sebatang pokok.
Rempuhan kuat menyebabkan dia meninggal dunia serta merta di tempat
kejadian akibat kecederaan di dada manakala dua lagi anaknya
masing-masing perempuan dan lelaki berusia sembilan dan lapan tahun yang
berada di tempat duduk penumpang cedera parah.
“Salah seorang anak mangsa berada dalam keadaan koma manakala seorang
lagi patah kaki dan dirawat di Hospital Sungai Buloh,” katanya.
Sehubungan itu beliau berkata, saksi kemalangan atau mereka yang
mempunyai maklumat berhubung kejadian terbabit diminta menghubungi
Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak,
Inspektor Rasha Azrul Shafii di talian 03-61262273 atau 03-61262257
untuk membantu siasatan. - Sinar Harian
No comments:
Post a Comment