Powered by Blogger.

Sunday, June 30, 2013

KPTM Bakal Berstatus Kolej Universiti, Sasar 60% Tenaga Pengajar Miliki PhD

  NR       Sunday, June 30, 2013
KOTA BHARU 25 Jun - Proses penjenamaan semula dan transformasi yang dilakukan berjaya mengangkat kedudukan Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) sebagai institusi pengajian tinggi swasta bumiputera yang terbesar dalam negara dari segi bilangan pelajar.

Pengerusi KPTM, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, sejak penubuhannya, KPTM kini mempunyai lapan buah kampus cawangan di seluruh negara dengan bilangan pelajar seramai hampir 17,000 orang mengikuti pelbagai pengajian di peringkat diploma dan sarjana muda.

Beliau berkata, kecemerlangan akademik yang ditonjolkan oleh KPTM turut melayakkannya untuk ditawarkan sebagai kolej universiti selepas memenuhi syarat-syarat ditetapkan.

"Sasaran kita adalah untuk menambah pengambilan pelajar sehingga 20,000 dalam tempoh lima tahun ini, tetapi bergantung kepada kemudahan kampus dan asrama," katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Sohaimi berkata, dalam usaha mengukuhkan lagi kedudukan KPTM, pihak kolej telah menjalin kerjasama dengan pelbagai institusi pengajian tinggi tempatan dan luar negara termasuk dari New Zealand dan negara rantau ASEAN.

Selain itu katanya, pihak KPTM juga menyasarkan seramai 60 peratus tenaga pengajarnya memiliki ijazah doktor falsafah (PhD) berbanding kira-kira hanya 20 peratus ketika ini.

Untuk itu katanya, pihak KPTM akan menawarkan peluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi kepada tenaga pengajar berkelayakan.

Terdahulu, beliau merasmikan penutupan sukan dwitahunan KTPM, Kejohanan Sukan KPTM 2013 (Suptem) yang telah berlangsung di Kompleks Belia dan Sukan Panji di sini, dengan menyaksikan KPTM Bangi muncul johan buat kali kedua berturut-turut.

Seramai 600 atlet daripada lapan buah KPTM dari seluruh negara menyertai kejohanan tersebut dengan KPTM Bangi berjaya mengumpul tujuh pingat emas dan empat gangsa.

Tempat kedua disandang oleh KPTM Kuala Lumpur dengan lima emas, sembilan perak dan enam gangsa, manakala KPTM Kota Bharu selaku tuan rumah di tempat ketiga dengan empat pingat emas, lima perak dan dua gangsa.

Ketua Kontinjen KPTM Bangi, Suhaida Ishak, 32, berkata, kejayaan tersebut cukup manis buat dia dan rakan-rakan setelah berjaya mempertahankan kejuaraan dimenangi dua tahun lalu pada Suptem 2011 di Ipoh, Perak.

"Ini merupakan kejayaan rakan-rakan yang telah membuat persiapan rapi sejak awal tahun bagi mengharungi kejuaraan ini. Kami berhasrat untuk mencipta hatrik pada Suptem 2015 yang akan dianjurkan di tempat sendiri," katanya.

Sebanyak 10 acara sukan telah dipertandingkan pada kejohanan itu iaitu bola sepak, sepak takraw, bola jaring, bola tampar, badminton, ping pong, futsal, ragbi, tenis dan tenpin staf.

Sumber: Utusan, 25 Jun 2013
logoblog

Thanks for reading KPTM Bakal Berstatus Kolej Universiti, Sasar 60% Tenaga Pengajar Miliki PhD

Previous
« Prev Post

No comments: