BUTTERWORTH – Seorang bapa mendakwa anaknya kini mengalami tekanan emosi setelah seorang guru wanita merotan dan mengusirnya dari sekolah kerana gagal menyiapkan kerja sekolah.
Syahrul Asmawi Rashid, 35, berkata akibat kejadian Jumaat lepas itu, anaknya Nur Emilia, 12, murid Tahun Enam sebuah sekolah rendah di sini, kini trauma dan tidak lagi mahu ke sekolah.
Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, katanya anaknya memaklumkan guru itu turut mengarahkannya mengambil borang tukar sekolah dan berpindah sekolah.
Syahrul yang berkerja sendiri berkata dia mengetahui kejadian itu pada kira-kira 9.30 pagi Jumaat apabila dihubungi guru terbabit yang memaklumkan anaknya telah pulang ke rumah kerana gagal menyiapkan kerja sekolah.
“Saya terkejut dan terus keluar mencari Emilia kerana dia tidak pulang ke rumah sedangkan rumah kami terletak tidak sampai 100 meter sahaja dari sekolah tetap kemudiannya berjaya menemui anak sulungnya itu sedang menangis di kawasan kampung,” katanya.
Syahrul berkata anaknya tidak menceritakan insiden yang menimpa dirinya itu sehingga rakannya datang pada sebelah petang dan memaklumkan kejadian sebenar.
“Bila kawan dia cerita, baru Emilia berani muka mulut dan menceritakan perkara sebenar dan kami kesal dengan sikap guru yang tidak hiraukan keselamatan muridnya apabila menghalau pelajar balik ke rumah,” katanya.
Katanya dia membuat laporan polis semalam.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Pulau Pinang Tarmizi Kamaruddin ketika dihubungi berkata guru besar sekolah itu diarah menyiasat dakwaan itu.
“Mungkin cikgu itu mengambil tindakan mengikut emosinya kerana mengikut prinsip pendidikan guru tidak boleh menghalau anak murid kerana pelajar mempunyai hak untuk berada dalam kelas bagi menuntut ilmu,” katanya. – Bernama
No comments:
Post a Comment