Powered by Blogger.

Tuesday, July 16, 2013

Kolej Matrikulasi Sarawak Beroperasi Sementara di SMT Sejingkat Memudahkan Pelajar Lepasan SPM Dari Sarawak

  NR       Tuesday, July 16, 2013
KURSUS MATRIKULASI: Fatimah memberitahu bahawa pembukaan Kolej Matrikulasi Sarawak membolehkan para pelajar mengikuti kursus matrikulasi tanpa merantau jauh. Turut kelihatan wakil kolej James Tiri Maran (tengah) dan Mohd Mahyuddin Mohd Noordin.

Pelajar berpeluang ikutinya di Kolej Matrikulasi Sarawak yang beroperasi sementara di SMT Sejingkat

KUCHING: Para pelajar lepasan SPM dari Sarawak kini berpeluang mengikuti kursus matrikulasi di Kolej Matrikulasi Sarawak yang kini beroperasi sementara di Sekolah Menengah Teknik (SMT) Sejingkat.

Menurut Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah, kolej tersebut telah mula beroperasi pada 26 Mei lepas dan sedang dalam proses penambahbaikan prasarananya bagi menampung para pelajar baharu yang ingin belajar di situ nanti.

“Sebelum ini para pelajar yang mengikuti kursus matrikulasi terpaksa pergi ke Kolej Matrikulasi Labuan di mana kos serta masa perjalanan ke situ agak membebankan sehingga ada antara mereka yang mengambil keputusan untuk tidak mengikuti kursus terbabit,” ujar Fatimah pada sidang media selepas menerima kunjungan daripada wakil Kolej Matrikulasi Sarawak di pejabatnya semalam.

Menurutnya, setakat ini kolej tersebut mempunyai seramai 89 pelajar dan bercadang untuk mengambil seramai 160 orang pelajar baharu selepas melaksanakan dua fasa pembangunan di prasarana sedia ada termasuk mengadakan publisiti mengenainya.

“Fasa pertama melibatkan kerja-kerja naik taraf dan ubah suai termasuk bagi bilik kuliah, bilik komputer, makmal serta kabin bagi pegawai-pegawai kanan yang siap dibina dan menelan belanja sebanyak RM4.7 juta.

“Manakala fasa kedua yang melibatkan pembinaan sebuah blok baharu bagi menempatkan bilik-bilik akademik dan pentadbiran dijangka siap pada penghujung tahun depan,” tambahnya.

Beliau memberitahu, setelah pembukaan kolej tersebut, ramai pelajar di Kolej Matrikulasi Labuan yang memohon untuk berpindah ke sini.

“Kolej Matrikulasi Labuan mempunyai nisbah 49 peratus pelajar yang berasal dari Sarawak dan kebanyakan daripada mereka kini memohon untuk berpindah ke sini.

“Prestasi para pelajar yang mengikuti kursus matrikulasi di seluruh Malaysia juga amat baik dengan 95 peratus daripada mereka berjaya melanjutkan pengajian ke institusi-institusi pengajian tinggi,” katanya.

Ketika ditanya mengenai lokasi baharu yang tetap bagi kolej tersebut, Fatimah memberitahu bahawa perkara tersebut masih dalam perbincangan di peringkat kerajaan persekutuan.

- UB
logoblog

Thanks for reading Kolej Matrikulasi Sarawak Beroperasi Sementara di SMT Sejingkat Memudahkan Pelajar Lepasan SPM Dari Sarawak

Previous
« Prev Post

No comments: