SRI AMAN: Masalah tekanan air yang sering melanda tiga sekolah
menengah di kawasan Sri Aman selama ini nyata mendapat perhatian serius
daripada wakil rakyat di sini.
Ia terbukti apabila Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar dan
Menteri Muda Perumahan Datuk Francis Harden Hollis tampil menghulurkan bantuan
berupa 50 tangki simpanan air berkapisiti 2,000 liter kepada tiga sekolah
tersebut.
Daripada jumlah itu, 30 tangki simpanan air diberi kepada Sekolah
Menengah Kebangsaan (SMK) Simanggang dan SMK Sri Aman dan SMK St Luke yang
masing-masing menerima 10 tangki simpanan air terbabit.
Menurut Harden, bagi menyelesaikan masalah ini beliau terpaksa
menggunakan peruntukan projek kecil luar bandar (MRP) untuk membeli kesemua
tangki simpanan air itu daripada syarikat Welda bernilai RM500 untuk seunit.
“Saya berharap tangki itu sedikit sebanyak mampu menyelesaikan
masalah kekurangan air di tiga sekolah menengah itu nanti,” katanya pada Majlis
Penyerahan Tangki Simpanan Air di SMK Simanggang kelmarin.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang
turut bercadang mahu menambah sejumlah 10 buah tangki simpanan air lagi untuk
SMK Sri Aman memandangkan 10 tangki air sebelumnya didapati masih belum cukup
untuk menampung keperluan pelajar asrama di situ.
Beliau berkata, masalah tekanan air akan dapat diatasi sekiranya
cadangan pembinaan stesen kawalan tekanan air di Sri Jaya dan pusat bandar Sri
Aman diluluskan oleh kerajaan.
Sumber: Utusan
Borneo
No comments:
Post a Comment