KOTA SAMARAHAN 13 Ogos - Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak akan menawarkan program baharu iaitu Diploma Pengurusan Halal kepada bakal pelajar ambilan November ini.
Penolong Rektor Kampus 2 Samarahan UiTM Sarawak, Profesor Madya Dr. Firdaus Abdullah berkata, program itu bertujuan memenuhi keperluan pakar di wilayah Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE).
Katanya, permintaan terhadap program berkaitan bidang halal sentiasa tinggi terutama di wilayah SCORE, mendorong UiTM Sarawak untuk menawarkan program ini untuk ambilan November.
"Bagi memastikan objektifnya tercapai, kandungan program ini turut dirangka khusus untuk keperluan di negeri ini, terutama di wilayah SCORE," katanya di sini baru-baru ini.
Dalam perkembangan lain, Firdaus memberitahu, lepasan sekolah yang kurang cemerlang dalam peperiksaan masih berpeluang melanjutkan pelajaran ke UiTM menerusi program Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB)
"Program ini diperkenalkan sejak 2010 di UiTM di seluruh negara.
"Program ini bertujuan membantu golongan kurang cemerlang dalam peperiksaan mendapat peluang kedua untuk melanjutkan pelajaran ke universiti," katanya.
Beliau dalam pada itu memberitahu, permohonan kemasukan sesi akademik 2 2013/2014 ke UiTM secara dalam talian kini dibuka sejak 1 Julai lalu dan bakal berakhir 18 Ogos ini.
Sumber: Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment