Powered by Blogger.

Tuesday, November 05, 2013

276 Kanak-Kanak Terima Sijil Pada Majlis Konvokesyen Tabika / Taska KEMAS Sibu 2013

  NR       Tuesday, November 05, 2013
Jangan Tangguh Anak Ke Prasekolah 

Prasekolah wajib kerana ia titik permulaan kanak-kanak masuki alam sekolah formal

SIBU: Ibu bapa diingatkan supaya tidak bersikap bertangguh-tangguh dalam menyekolahkan anak-anak mereka ke peringkat prasekolah dan tidak memandang remeh pendidikan prasekolah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka Dr Annuar Rapa’ee berkata pendidikan prasekolah adalah wajib dalam sistem pendidikan negara kerana ia adalah titik permulaan kanak-kanak memasuki alam sekolah formal.

Beliau juga meminta ibu bapa menghantar anak-anak ke prasekolah seandainya mendapati umur anak mereka cukup untuk masuk ke peringkat prasekolah.

“Jika tidak menghantar anak-anak ke prasekolah sudah tentu mereka tidak mengenal huruf, angka seterusnya tidak tahu membaca, menulis dan mengira.

“Implikasi prasekolah adalah sungguh besar dan memerlukan sokongan serta kesedaran ibu bapa dalam usaha kita memupuk modal insan seawal usia,” katanya pada Majlis Konvokesyen Tabika/Taska Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Parlimen Sibu di sini semalam.

Hadir sama wakil Pengarah KEMAS Sarawak Shuib Ahmad, Pegawai KEMAS Daerah Sibu Leena Tero, Penyelia Kanan KEMAS Parlimen Sibu Abang Muhammad Abang Jess dan Penyelia Kanan KEMAS Parlimen Lanang Fricsilla Bangi Mujap.

Seramai 276 kanak-kanak daripada 54 Tabika KEMAS di bawah Parlimen Sibu menerima sijil masing-masing.

Sementara itu, katanya jika anak-anak tidak mendapat pendidikan prasekolah dan terus melompat ke tahun satu, ia akan menimbulkan masalah kepada anak-anak itu sendiri.

Jelasnya, anak-anak itu akan berasa rendah diri disebabkan rakan-rakan sebayanya sudah mengenali huruf, angka dan sebagainya.

“Banyak masalah timbul jika kita menyekolahkan anak-anak dengan cara sedemikian.

“Ia bukan sahaja memberi kesan kepada anak-anak itu malah turut memberi masalah kepada guru yang mengajar khususnya yang berkaitan dengan skop pendidikannya.

“Ini juga boleh membuatkan kanak-kanak itu ketinggalan.

“Peringkat prasekolah sangatlah penting kerana dari situ kita berupaya melahirkan anak-anak berdaya saing seandainya mendapat pendidikan secukupnya di prasekolah,” tegasnya.

Dalam pada itu, Dr Annuar melahirkan rasa bangga dengan usaha KEMAS yang sentiasa komited dalam memberi pendidikan prasekolah kepada kanak-kanak khususnya di Parlimen Sibu.

Dr Annuar memberitahu, ia adalah usaha kerajaan memastikan anak-anak tidak tercicir daripada sistem pendidikan negara.

“Selain itu, Tabika/Taska KEMAS dapat memupuk semangat perpaduan di kalangan kanak-kanak di peringkat awal dan sikap sedemikian sangat penting bagi kita terus mengukuhkan keamanan dan kemakmuran negara dari generasi ke generasi,” tambahnya.

Sumber: Utusan Borneo



logoblog

Thanks for reading 276 Kanak-Kanak Terima Sijil Pada Majlis Konvokesyen Tabika / Taska KEMAS Sibu 2013

Previous
« Prev Post

No comments: