Powered by Blogger.

Wednesday, June 25, 2014

RMKe-11: Menteri Pendidikan Umum Cadangan Pembinaan Sekolah Vokasional di Bau

  NR       Wednesday, June 25, 2014
BAU: Sebuah sekolah vokasional dicadangkan untuk dibina di daerah ini di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11), kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin malam ini. 

Katanya, cadangan itu sejajar dengan perancangan kerajaan untuk menambah bilangan sekolah dan kolej vokasional di seluruh negara. 


Saya berharap kerajaan negeri dapat membantu untuk menyediakan tapak yang sesuai supaya kita dapat masukkan cadangan sekolah vokasional ini dalam Rancangan Malaysia ke-11 ini nanti," katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis sambutan perayaan Gawai dan Karnival Persatuan Pergerakan Penyelidikan dan Pembangunan Singai Sarawak (Redeems) Kesembilan 2014 di sini. 

Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud, menyempurnakan perasmian majlis itu serentak dengan pelancaran pembinaan Pusat Kebudayaan Redeems. 

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata, cadangan sekolah vokasional baharu ini akan turut membantu kerajaan negeri dalam melahirkan lebih ramai lagi tenaga kerja teknikal untuk keperluan industri negeri ini. 

Beliau turut mengumumkan peruntukan RM2 juta untuk Redeems bagi menampung sebahagian daripada keperluan persatuan itu untuk membina sebuah pusat kebudayaan. 
Menurutnya, usaha Redeems untuk membina pusat kebudayaan itu seiring dengan hasrat kerajaan yang mahukan rakyatnya mempertahankan warisan mereka dalam menuju wawasan untuk menjadi negara maju. 

Turut hadir di majlis itu ialah isteri Yang Dipertua Negeri, Toh Puan Ragad Kurdi Taib; isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem serta isteri, Puan Sri Jamilah Anu. 

Sebelum itu, Muhyiddin yang tiba di Sarawak pagi tadi telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang Dipertua Negeri di kediamannnya di Demak Jaya sebelum menghadiri taklimat tertutup "Janji Ditepati" di sebuah hotel terkemuka di Kuching. 

Beliau turut menghadiri Program Sekolah Amanah anjuran Yayasan Amir di SK Tabuan di Kuching petang tadi. 

- BERNAMA 
logoblog

Thanks for reading RMKe-11: Menteri Pendidikan Umum Cadangan Pembinaan Sekolah Vokasional di Bau

Previous
« Prev Post

No comments: