KUCHING: Isu membawa masuk guru dari luar Sarawak untuk mengajar subjek kritikal termasuk Pendidikan Islam tidak harus dipolitikkan.
Presiden Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) Ahmad Malie berkata tindakan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak memohon lebih ramai guru dari Semenanjung Malaysia ditempatkan di Sarawak ketika ini untuk mengajar mata pelajaran itu sebenarnya demi kepentingan pendidikan di negeri ini.
Menurutnya isu menempatkan guru dari luar Sarawak mengajar di negeri ini telah hangat diperdebatkan oleh pelbagai pihak menerusi media sosial dan portal berita menyebabkan keresahan dalam kalangan guru serta ahli KGBS.
“Semua pihak harus sedar, untuk mencapai nisbah 90:10 guru tempatan dengan guru Semenanjung Malaysia tidak dapat menjadi kenyataan dalam masa sehari. Ia mengambil masa,” katanya.
Justeru ujarnya, isu berkenaan tidak boleh dipolitikkan lebih-kebih oleh pihak yang mempunyai kepentingan.
“Apabila isu ini dipolitikkan, ia akan menyukarkan lagi kementerian membuat keputusan kerana wujudnya campur tangan luar.
“Akhirnya, ia akan memberi kesan tidak baik kepada pelajar di negeri ini,” ujarnya.
Ahmad yang juga pengerusi Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Sarawak percaya JPN Sarawak mempunyai strategi sendiri untuk mencapai nisbah 90:10 itu dan membuat keputusan terbaik berhubung permintaan menempatkan guru dari luar Sarawak mengajar di negeri ini.
Pada masa sama, beliau menasihati rakyat negeri ini agar bertenang dan tidak mengambil tindakan yang hanya akan merugikan pelajar.
Dilaporkan dalam surat dikeluarkan JPN Sarawak bertarikh 3 Februari 2017, jabatan itu memohon 401 guru dari luar Sarawak (Semenanjung Malaysia dan Sabah) ditempatkan di negeri ini untuk mengajar Pendidikan Islam di sekolah-sekolah rendah dan 32 lagi untuk ditempatkan di sekolah menengah.
Subjek kritikal lain yang memerlukan tenaga pengajar dari luar Sarawak ialah Bahasa Melayu (36 guru), Sejarah dan Geografi (107 guru) dan Matematik (64 guru), kesemuanya untuk ditempatkan di sekolah menengah di seluruh Sarawak.
Oleh itu katanya, semua pihak perlu memberi kepercayaan kepada JPN Sarawak membuat keputusan terbaik tanpa campur tangan serta tekanan dari luar.
Menurutnya berdasarkan komen-komen yang dimuat naik dalam media sosial, ia agak membimbangkan kerana ada antaranya menyimpang daripada maksud sebenar.
“Ada juga komen-komen yang tidak sensitif yang boleh mengganggu gugat keamanan dan keharmonian negeri dan negara,” ujarnya.
Sumber : Utusan Borneo, 22 Feb 2017
No comments:
Post a Comment